
Selepas Amerika… EU pula dicadang haramkan Tik Tok
Selepas Mahkamah Tertinggi Amerika Syarikat mengharamkan Tik Tok di negara tersebut, Eropah dicadangkan untuk mengikuti langkah tersebut.
Cadangan itu diutarakan kata Menteri Luar Estonia, Margus Tsahkna, pada Ahad, selepas mendakwa platform perkongsian video pendek itu menyebarkan maklumat palsu, lapor Sputnik/RIA Novosti.
“Selama beberapa tahun kebelakangan ini, kita menyaksikan TikTok menyebarkan maklumat palsu dan menjadi platform untuk memanipulasi pilihan raya. Selain itu, pengumpulan data secara besar-besaran oleh platform ini diketahui menimbulkan risiko keselamatan yang serius. Pengharaman TikTok perlu dipertimbangkan di Eropah juga,” kata Tsahkna menerusi hantaran di platform X.
Seorang wartawan Sputnik/RIA Novosti pada Ahad melaporkan bahawa TikTok tidak lagi boleh diakses oleh pengguna di Amerika Syarikat (AS) dan telah dikeluarkan daripada App Store.
Pada Jumaat, Mahkamah Agung AS sebulat suara mengekalkan undang-undang yang melarang aplikasi perkongsian video milik syarikat China itu atas alasan keselamatan negara.
Rumah Putih menyatakan keputusan muktamad mengenai masa depan TikTok di AS harus dibuat oleh pentadbiran Donald Trump yang mengambil alih pentadbiran selepas tempoh larangan itu berkuat kuasa.
Trump berkata keputusan mahkamah tertinggi AS untuk mengekalkan pengharaman TikTok perlu dihormati dan beliau akan membuat keputusan mengenai perkara itu dalam masa terdekat.
Untuk rekod, semakan terkini x-press.my mendapati Tik Tok kembali aktif di Amerika Syarikat selepas perundingan antara syarikat tersebut dengan pejabat Presiden Terpilih Donald Trump awal pagi Isnin.-20/1/2025



