FOKUS

Rakyat Malaysia di luar negara sukar untuk mengundi… ini jawapan PM

Isu yang jadi panas setiap kali menjelang pilihanraya umum adalah ramai rakyat Malaysia yang menetap di luar negara sukar untuk mengundi.

Dalam Majlis Minum Petang dan Ramah Mesra bersama rakyat Malaysia sempena lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Belgium, beliau ditanya mengenai isu ini.

Menurut Anwar, beliau telah pun membangkitkan mengenai isu undi pos untuk rakyat Malaysia di luar negara dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Ini kerana, rakyat Malaysia yang tinggal di luar negara perlu mempunyai hak yang sama untuk mengundi dalam pilihan raya, sama seperti mereka yang berada di tanah air, ujar beliau.

“SPR sebuah badan bebas…namun saya telah membangkitkan perkara ini kepada mereka. Mereka perlu memberi peluang kepada setiap rakyat Malaysia untuk mengundi,” kata beliau.

“Malah, saya beritahu untuk jangan lakukannya menerusi kedutaan (untuk proses pengundian). Gunakan beberapa mekanisme supaya orang ramai boleh datang dan mengundi, walaupun ini bermakna ia akan menyebabkan pertambahan dana untuk ini,” kata beliau sambil menambah bahawa SPR telah menerima cadangannya itu.

Majlis yang diadakan sempena lawatan dua hari beliau ke Belgium yang bermula Ahad, dihadiri kira-kira 200 rakyat Malaysia yang berada di negara itu.

Antara yang hadir pada majlis berkenaan ialah Duta Malaysia ke Belgium, Luxembourg dan Kesatuan Eropah Datuk Mohd Khalid Abbasi Abdul Razak dan Presiden Persatuan Malaysia di Belgium Sarala Shambulingam.

Turut hadir Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir serta Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Ketika ditanya mengenai adakah Kerajaan Malaysia memberikan keutamaan terhadap teknologi hijau dan penghutanan, Anwar berkata perkara itu merupakan antara agenda utama pentadbiran sekarang.

“Eropah telah memusnahkan semua hutan, jangan beritahu kami supaya belajar daripada mereka. Hutan kita kini berada pada 54 peratus sekarang, malah paru-paru hijau kita bertambah, tahun lepas kita tanam sejuta pokok sebagai sebahagian daripada kempen penghutanan kita,” kata beliau.

Beliau berkata Malaysia dan rakan kongsi ASEAN memberi tumpuan kepada grid ASEAN yang bukan sahaja menjana kuasa hidro tetapi juga daripada tenaga solar dan tenaga boleh diperbaharui yang lain.

“Kita ada 140,000 pelajar asing di universiti kita. Saya telah banyak melawat banyak negara membangun dan pemimpin mereka mahu menghantar pelajar dan pegawai mereka untuk belajar daripada kita, dalam bidang seperti semi konduktor,” kata beliau.-20/1/2025 OLEH AHMAD SAUQI ABDUL RAZAK

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button