TAHUKAH ANDA

MCMC diminta atasi isu menara telekomunikasi terjejas ketika musim banjir

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) diminta teliti langkah-langkah penyelesaian untuk mengatasi isu menara telekomunikasi terjejas ketika musim banjir.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata MCMC diminta mengadakan bengkel bersama semua syarikat penyedia perkhidmatan rangkaian dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk mengenal pasti kawasan menara telekomunikasi yang sebelum ini tidak dilanda banjir, tetapi berpotensi terjejas pada masa hadapan.

Fahmi berkata salah satu daripada menara telekomunikasi di Tumpat yang sebelum ini tidak dikategorikan sebagai kawasan berpotensi banjir, tetapi telah terjejas akibat bencana itu baru-baru ini.

“Oleh itu, MCMC bersama syarikat-syarikat telekomunikasi diminta untuk mengadakan bengkel simulasi bagi menilai impak sekiranya air mencecah paras tertentu di kawasan menara,” katanya kepada pemberita selepas meninjau menara telekomunikasi milik ARC yang terjejas banjir baru-baru ini, di Kampung Jubakar Pantai, di Tumpat Kelantan pada Isnin.

Beliau menegaskan bahawa kerja-kerja penggantian peralatan dan naik taraf menara yang terkesan memerlukan kos yang besar.

Sehubungan itu, Fahmi meminta kementerian dan MCMC meneliti penyelesaian yang lebih mampan dan berdaya tahan.

“Antara langkah yang boleh diambil termasuk penggunaan teknologi alternatif seperti tenaga solar di kawasan yang tidak mempunyai bekalan elektrik.

“Selain itu, teknologi baharu yang sedang diuji melalui projek rintis di beberapa kawasan juga akan dipertimbangkan untuk pelaksanaan pada masa hadapan,” katanya.

Sebelum itu, Fahmi memberitahu sebanyak 264 menara telekomunikasi di Kelantan yang terjejas akibat banjir telah selesai dibaik pulih.

Beliau berkata menara yang terlibat kini telah beroperasi seperti biasa dan fungsinya akan terus ditambah baik.

“Satu daripada penambahbaikan yang boleh dilakukan adalah dengan melaksanakan ‘site hardening’. Oleh itu, saya memohon supaya kajian dilakukan ke atas keperluan melaksanakan ‘site hardening’ di menara-menara ini, terutamanya di kawasan yang berpotensi terjejas oleh banjir. Beberapa tindakan pencegahan juga perlu diambil sebelum Oktober ini.

“Seperti yang kita ketahui, Oktober adalah bulan persiapan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL), jadi segala langkah perlu diambil sebelum musim itu tiba,” katanya.-20/1/2025 OLEH AHMAD SAUQI ABDUL RAZAK

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button