Pejuang Hamas disambut dengan sorakan oleh orang ramai yang menjerit, “Salam kepada Briged Al-Qassam” kata mereka, ketika beribu-ribu rakyat Palestin membanjiri jalan-jalan di seluruh Gaza selepas gencatan senjata bermula Ahad.
Penduduk Palestin keluar beramai-ramai ada yang merayakan gencatan senjata, sementara yang lain menziarahi kubur saudara-mara.
Di utara Gaza, kawasan kejiranan Jabalia yang musnah menyaksikan ratusan penduduk berjalan melalui jalan berdebu yang dipenuhi runtuhan.
Bangunan-bangunan yang dahulunya berdiri megah kini hanyalah timbunan konkrit yang runtuh.
Seorang penduduk yang pulang ke rumahnya yang musnah, Amal Abu Eita berkata, “Kami datang dengan harapan mungkin ada satu bilik lagi untuk berteduh. Namun, apa yang kami temui hanyalah runtuhan.”
Sementara itu, trak yang membawa bantuan kemanusiaan memasuki Gaza pada Ahad selepas perjanjian gencatan senjata antara Hamas dan Israel berkuat kuasa, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Pemangku Ketua Pejabat PBB bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) bagi wilayah Palestin, Jonathan Whittall berkata trak-trak telah memasuki Gaza selepas usaha besar-besaran untuk memberikan bantuan kemanusiaan.
Perjanjian gencatan senjata itu termasuk kemasukan 600 lori bantuan sehari untuk enam minggu pertama, dengan separuh daripadanya diarahkan ke kawasan utara Gaza yang paling teruk dilanda bencana. Bantuan ini termasuk bahan api, bekalan makanan, dan perumahan pasang siap untuk penduduk yang berpindah.
Program Makanan Sedunia (WFP) berkata bantuan kecemasan mula tiba pada pagi 19 Januari. Seorang pegawai WFP berkata, “Keadaan di Gaza adalah teruk, terutamanya di utara. Bantuan ini adalah langkah pertama.”
Sumber Mesir, yang enggan namanya didedahkan, berkata 197 trak yang membawa bantuan dan lima lagi dengan bahan api telah masuk melalui persimpangan Kerem Shalom antara Gaza dan Israel, serta al-Oga dan Nitzana (Mesir-Israel).

Ahmed Abu Ayham, seorang penduduk Kota Gaza yang kini berlindung di Khan Younis, berkata, “Kami gembira kerana nyawa telah diselamatkan, tetapi ini bukan masa untuk meraikannya. Kehilangan dan kemusnahan terlalu besar untuk dilupakan begitu sahaja.”
Di Rafah, sebuah keluarga yang pulang ke rumah lama mereka membawa beg pakaian, tin air dan tilam di atas trak kecil.
Ahmed Abou Mohsen, 20, meluahkan perasaan bercampur-baur, “Ia adalah perasaan yang sukar untuk digambarkan, antara kegembiraan dan kesedihan. Ada yang pulang hanya untuk mendapati rumah mereka hilang.”
Di Jabalia, keluarga yang baru pulang mula menggunakan penyodok untuk membersihkan serpihan dari rumah mereka. Bagi sesetengah orang, yang tinggal hanyalah kenangan dan harapan untuk membina semula kehidupan mereka.
Walaupun gencatan senjata ini membawa harapan, cabaran besar menanti di hadapan. Kemusnahan yang meluas dan kehilangan nyawa yang besar tidak akan mudah dilupakan. Seorang penduduk, Zakiya al-Masri, berkata, “Kami gembira dapat kembali. Tetapi ini bukan kegembiraan yang lengkap. Kami kehilangan ramai orang yang kami sayangi.”
Aya, yang sudah setahun lebih kehilangan tempat tinggal, berkata, “Perang mungkin sudah berakhir, tetapi kehidupan kita tidak akan sama lagi. Tetapi sekurang-kurangnya tidak akan ada lagi pertumpahan darah, saya harap.” 20/1/2025