
Ini jumlah harta dua anak Tun Mahathir yang isytihar pada SPRM…RM1 billion dan RM246 juta
Setelah menunggu selama setahun akhirnya jumlah harta milik dua anak Tun Dr Mahathir Mohamad yakni tokoh koprat Tan Sri Mokhzani dan Mirzan terjawab.
Ini ekoran Langkah mereka mengisytiharkan harta mereka kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Jumlah aset Mokhzani yang diisytihar keseluruhan lebih kurang RM1 bilion.
Nilai peribadi beliau adalah dalam RM360 juta. Yang lain itu ada bentuk aset, pegangan saham tolak liabiliti yang mereka tanggung.
Harta yang diisytihar, Mirzan secara keseluruhan RM246.2 juta dan nilai peribadinya adalah RM120 juta.
Selebihnya adalah berkaitan saham dan aset setelah mengambil liabiliti yang mereka tanggung
Ketua Pengarah SPRM, Tan Sri Azam Baki beritahu satu sidang akhbar di Putrajaya pada Selasa SPRM masih meneruskan siasatan dan sedang membuat analisis mengenai harta yang diisytiharkan kedua-dua mereka.
Katanya Mokhzani dan Mirzan telah mengisytiharkan harta kepadanya secara peribadi kerana beliau yang keluarkan notis atau pun waran untuk isytihar harta.
SPRM telah serahkan notis kepada anak bekas Perdana Menteri itu di bawah Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM 2009 pada 18 Januari 2024 yang menghendaki mereka mengisytiharkan semua aset milik mereka.
Pada bulan berikutnya, mereka mengeluarkan kenyataan media bagi memohon semua pihak agar bersabar dan memahami situasi mereka bagi mengumpulkan maklumat berkenaan aset yang dimiliki selama 43 tahun.
Tempoh berkenaan ialah sejak Dr Mahathir dilantik jadi Perdana Menteri.
Kedua mereka telah diberi kebenaran oleh SPRM untuk tangguh isytihar harta beberapa kali.
Sementara itu diminta maklumat mengenai perkembangan kes babit aset bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin dan isteri Toh Puan Na’imah Abdul Khalid, Azam menjelaskan, siasatan kes ini masih berjalan.
Azam beritahu SPRM masih lagi membuat siasatan dan pengesanan aset mereka di luar negara berdasarkan data dan keterangan yang diperoleh hasil kerjasama dengan beberapa pihak luar negara.
“Sekiranya ada kesalahan dikesan berkaitan dengan siasatan kami, kita akan membuat permohonan untuk mendapatkan kembali wang berkenaan.
“Ini bukan suatu perkara yang mudah kerana melibatkan negara luar.
“Jadi ini adalah cabaran apabila kita jalankan siasatan yang melibatkan keterangan di luar negara dan hendak kembalikan aset serta proksi yang digunakan,” katanya.
Menurutnya, berdasarkan indikator yang diperoleh, wang-wang itu disimpan di luar negara tertentu.
Sebelum itu, pada 19 November lepas, Toh Puan Na’imah menegaskan mahu pendakwaan kes gagal mengisytiharkan harta membabitkan suaminya di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur diteruskan demi membersihkan nama bekas Menteri Kewangan itu.
Berikutan itu, 22 November lalu, SPRM dalam kenyataan berkata, pihaknya membuka beberapa kertas siasatan berdasarkan maklumat yang ditemui dalam Pandora Papers pada Februari 2023 dan ia membawa kepada siasatan terhadap Kementerian Kewangan ketika Daim memegang jawatan sebagai Menteri Kewangan.- 21/1/2025