Isu menjual sandwich ham kembali mencuri perhatian bila cawangan KK Mart berkenaan terletak di Universiti Malaya disimbah cat merah.
Kejadian berlaku sekitar jam 12.50 tengah malam Selasa.
Berdasarkan pemantauan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dua individu menunggang motosikal disyaki terbabit membaling cat berkenaan.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood kata pihaknya sedang menunggu rakaman CCTV lain di sekitar kawasan dalam UM bagi memudahkan siasatan untuk mengenalpasti suspek.
“Ya, pada masa ini kita masih menjalankan siasatan termasuk mengesan pelaku berdasarkan maklumat dan rakaman CCTV.
“Setakat ini kita mengesahkan kejadian sekitar jam 12.50 tengah malam selepas pengadu yang juga seorang anggota polis bantuan di UM dimaklumkan oleh pekerja kedai serbaneka tersebut,” katanya.
Ku Mashariman berkata, laporan kejadian berkenaan dibuat pada jam 8 pagi tadi sebelum siasatan selanjutnya dijalankan.
“Berdasarkan siasatan awal, terdapat kesan cat merah di hadapan pintu kedai dan kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” katanya.- 21/1/2025