TAHUKAH ANDA

Tol percuma tidak selesaikan masalah kesesakan

Pemberian tol percuma pada musim perayaan tidak menyelesaikan masalah kesesakan di lebuh raya bertol, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid.

Beliau berkata yang penting ialah pengguna jalan raya mengubah sikap dan merancang perjalanan apabila tiba musim perayaan.

“Jumlah gantian dalam bentuk pampasan oleh kerajaan kepada pemegang konsesi tol itu melebihi RM35 juta sehari.

“Walaupun ia tidak melibatkan pampasan tunai secara langsung tetapi konsensi itu terpaksa dipanjangkan dan ini tidak menyelesaikan masalah kesesakan di lebuh raya yang bertol,” katanya ketika diminta mengulas keputusan kerajaan menghentikan pemberian tol percuma sempena musim perayaan.

Beliau berkata keputusan menghentikan pemberian tol percuma itu merupakan keputusan Jemaah Menteri susulan saranan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Pada Isnin, Kementerian Kerja Raya memaklumkan dasar pemberian tol percuma untuk semua perayaan utama tidak akan diteruskan bermula tahun ini termasuk bagi sambutan Tahun Baharu Cina tidak lama lagi.

Bagaimanapun kata Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, pemberian tol percuma itu mungkin akan dilaksanakan sekiranya terdapat pertimbangan lain dan ia akan diumumkan dari semasa ke semasa.

“Tahun lepas kerajaan sudah memutuskan iaitu pada tahun lalu adalah tahun terakhir tol percuma semasa perayaan, kalau mengikut keputusan itu maka tiada lagi (tol percuma) dan kalau ada mungkin ada pertimbangan lain.

“Sebab kerajaan sudah menyelaraskan subsidi secara bersasar tetapi perinciannya akan dimaklumkan kemudian,” ujarnya.

Sebelum ini, kerajaan memaklumkan syarikat konsesi tidak menanggung sebarang implikasi kewangan berikutan pengecualian tol pada musim perayaan kerana kos pemberian tol percuma dibayar oleh kerajaan.

Secara puratanya, kerajaan membayar kira-kira RM20 juta sehari kepada syarikat konsesi lebuh raya menerusi pelaksanaan tol percuma.

Pada tahun lalu saja, kerajaan membayar RM80.07 juta sempena Aidilfitri, Deepavali RM42.31 juta; Tahun Baru Cina (RM41.21 juta) dan RM38 juta pada Krismas lalu.

Pemberian tol percuma pada Krismas lalu adalah yang terakhir sempena musim perayaan yang diberikan kerajaan.-22/1/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button