Friday - 27, June 2025

35,368 kes jenayah dalam talian pada 2024… Perkasa kesedaran keselamatan digital

Share

Jenayah dalam talian terus meningkat dengan jumlah kes yang membimbangkan, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

Berdasarkan rekod Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 35,368 kes jenayah dalam talian telah direkodkan sepanjang tahun 2024 dengan jumlah kerugian melebihi RM1.5 bilion.

Manakala pada tahun 2023, sebanyak 34,495 kes dicatatkan dengan kerugian berjumlah RM1.22 bilion.

Menurut Fahmi, pihak berkuasa telah mengambil langkah proaktif dalam mengekang jenayah siber.

Pada penghujung tahun lalu, PDRM dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah melaksanakan Ops Pedo Bersepadu yang membawa kepada penangkapan 13 suspek di enam negeri.

Operasi ini turut menyaksikan rampasan lebih 40,000 bahan berkaitan penganiayaan seksual kanak-kanak.

“Dalam usaha memastikan persekitaran dalam talian yang lebih selamat untuk rakyat Malaysia, Kementerian Komunikasi telah merealisasikan Jelajah Kempen Keselamatan Dalam Talian. Saya sendiri telah melancarkan siri jelajah ini di Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Pengkalan Chepa, pada Selasa,” katanya.

Fahmi menjelaskan bahawa kempen ini merupakan inisiatif kementerian melalui MCMC bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai keselamatan dalam talian. Ia juga bertujuan untuk membantu pengguna mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan serta jenayah siber yang semakin berleluasa.

“Jelajah ini akan diperluas ke seluruh negara bagi memastikan lebih ramai rakyat mendapat manfaat dan ilmu pengetahuan dalam usaha melindungi diri, anak-anak, dan keluarga daripada ancaman jenayah dalam talian,” tambahnya.

Beliau turut menyeru semua pihak untuk memainkan peranan dalam memerangi jenayah siber dengan meningkatkan kesedaran serta mengambil langkah berjaga-jaga ketika berinteraksi dalam talian.

Sementara itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan memaklumkan siri jelajah itu merupakan inisiatif Kementerian Komunikasi menerusi agensi itu bertujuan meningkatkan tahap kesedaran masyarakat mengenai keselamatan dalam talian sekali gus mengelakkan pengguna daripada menjadi mangsa penipuan serta jenayah dalam talian.

Menurut MCMC, jelajah itu akan diperluas ke seluruh negara bagi mewujudkan persekitaran dalam talian yang selamat, selain penguatkuasaan pelaksanaan pelesenan penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial, pindaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) serta perundangan baharu Akta Keselamatan Dalam Talian.

Turut diadakan ceramah mengenai modus operandi penipuan serta langkah pencegahan oleh Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, ceramah bertajuk ‘Realiti Dunia Dalam Talian’ oleh Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia, forum Bicara Klik Dengan Bijak dan reruai pameran.

Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Lama Dr Hafidzah Mustakim, Pengerusi Lembaga Pengarah UMK Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan dan Ketua Pegawai Hal Ehwal Negeri MCMC Bukhari Yahaya.-22/1/2025 OLEH AHMAD SAUQI ABDUL RAZAK

Read more

khabar terbaru