FOKUS

Tol percuma musim perayaan… Kerajaan sedang perinci pendekatan lebih bersasar

Bukan batal terus sebaliknya kerajaan sedang memperincikan pendekatan lebih bersasar untuk pemberian tol percuma pada musim perayaan, itu penjelasan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya langkah ini selaras dengan usaha penyelarasan subsidi sebelum ini, yang menumpukan bantuan kepada golongan B40 dan M40, tanpa melibatkan semua pihak secara menyeluruh.

“Ada pihak yang mempersoalkan mengapa tol percuma itu diberikan kepada semua, termasuk kereta mewah seperti Rolls Royce, Mercedes dan Maserati. Oleh itu, kita perlu teliti supaya rakyat yang terkesan di peringkat bawah itu diberikan pertimbangan lain.

“Perkara ini sedang diperincikan. Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, sebelum ini hanya menyatakan prinsip asas bahawa subsidi tidak boleh diteruskan untuk semua, seperti subsidi elektrik dan minyak,” katanya.

Selasa lepas, Nanta dilapor berkata tahun 2024 merupakan tahun terakhir bagi pemberian tol percuma pada musim perayaan dan mesyuarat Kabinet tahun lepas telah memutuskan untuk mencari pendekatan lebih bersasar, yang dijangka diumumkan dalam masa terdekat.

Sementara itu, pakar ekonomi menyokong keputusan kerajaan menghentikan pemberian tol percuma pada musim perayaan.

Pakar Ekonomi Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK) Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata sebahagian golongan memerlukan terutamanya yang tidak berpeluang membuat perjalanan ketika musim perayaan tidak mendapat sebarang manfaat pengecualian bayaran tol pada tempoh berkenaan.

“Kalau matlamatnya untuk membantu kesejahteraan hidup semua isi rumah, kerajaan perlu cari kaedah lain. Orang yang tidak bercuti atau yang menggunakan lebuh raya pada musim perayaan tidak mendapat apa-apa faedah daripada tol percuma,” katanya.

Menyifatkan keputusan itu sebagai sebahagian langkah reformasi fiskal, beliau berkata kerajaan membelanjakan puluhan juta ringgit pada setiap musim perayaan untuk pemberian tol percuma.

“Musim perayaan kita banyak, dalam setahun boleh cecah beratus juta. Ia boleh dimanfaatkan untuk program lain seperti memperluas program Menu Rahmah yang sangat berguna untuk golongan memerlukan tetapi tidak ada di semua tempat,” katanya.

Bernama melaporkan Barjoyai berkata secara prinsipnya, langkah menghentikan pemberian tol percuma itu juga mampu memupuk budaya berjimat, berbelanja secara efektif dan berkesan dalam kalangan rakyat.

Dalam pada itu, aktivis keselamatan jalan raya dan pengangkutan mampan Shahrim Tamrin turut bersetuju dengan keputusan itu dan menyifatkan pengecualian tol untuk perjalanan balik kampung musim perayaan yang sememangnya merupakan waktu puncak adalah ibarat ‘mencurah minyak tanah ke api’.

Beliau berkata pengecualian tol menjejaskan kemampanan pengangkutan, pengurusan trafik yang cekap dan menyumbang kepada kesesakan jalan raya teruk di lebuh raya dan jalan persekutuan atau negeri.

“Akibat jumlah lalu lintas begitu tinggi di lebuh raya ia seterusnya melimpah ke jalan utama dan sekunder dan kerap kali menyebabkan lalu lintas sesak teruk di bandar dan kawasan luar bandar atau kampung,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bekas ahli lembaga pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) itu berkata kesesakan lalu lintas pula akan mengakibatkan penggunaan bahan api yang lebih tinggi dan menyumbang kepada peningkatan pelepasan karbon dioksida dan pencemaran udara.

Berdasarkan kajian, kenderaan pengangkutan menyumbang lebih 70 peratus daripada pencemaran udara di kawasan bandar dan penyumbang kedua terbesar kepada jumlah pelepasan karbon dioksida di Malaysia sebanyak 21 peratus pada 2016.

Demi kepentingan rakyat Malaysia secara amnya, Shahrim menegaskan RM540 juta wang pembayar cukai bagi tujuan hari bebas tol sejak tiga tahun lepas harus disalurkan kepada rakyat yang menggunakan pengangkutan awam.

“Dengan duit pembayar cukai itu, kerajaan harus menggalakkan perkhidmatan bas ekspres atau bas sewa khas serta perkhidmatan rel melalui tawaran baucar tiket elektronik atau tambang diskaun,” katanya.

Selain itu, beliau mencadangkan kerajaan melaksanakan subsidi bersasar kepada kumpulan pengguna motosikal yang memerlukan perjalanan selamat serta pengembara ke Sabah dan Sarawak dan ke utara, selatan dan timur Semenanjung terutamanya golongan berpendapatan rendah dan pelajar institusi pengajian tinggi.-23/1/2025 AHMAD SAUQI ABDUL RAZAK

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button