
Bukan salah MCMC… Mahkamah Tinggi tolak semakan kehakiman berkaitan hantaran FB ‘dipadamkan’
Cubaan seorang peguam untuk mendapatkan semakan kehakiman terhadap Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) ditolak oleh Mahkamah Tinggi di Pulau Pinang.
Ini berkaitan hantaran di laman media sosialnya yang di alih keluar (dipadamkan) oleh Facebook pada 2024.
Peguam A. Srimurugan yang mewakili peguam Dr Shamsher Singh Thind berkata mahkamah telah memutuskan bahawa keputusan untuk mengalih keluar hantaran anak guamnya dilakukan Facebook dan bukan MCMC, justeru ia tidak tertakluk kepada semakan kehakiman.
Hakim Datuk Anand Ponnudurai berpendapat bahawa tindakan MCMC bukanlah ‘keputusan’ yang boleh dikaji semula oleh mahkamah, kerana MCMC hanya mengeluarkan permintaan untuk tindakan manakala keputusan itu dibuat oleh Facebook.
“Hakim berkata platform media sosial mempunyai kata putus dalam pengawalan kandungan, walaupun diminta oleh pengawal selia seperti MCMC,” ujarnya dipetik dari Bernama.
Pada 4 Jun, Shamsher Singh memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman untuk membatalkan permintaan pentadbiran yang menyebabkan siaran Facebooknya disekat untuk pengguna Malaysia, pada Mei 2024.
Dalam permohonannya, peguam itu mendakwa MCMC telah melanggar kebebasan bersuara dengan menyekat hantaran tersebut.
Shamsher Singh juga mahu mahkamah mengisytiharkan tindakan pengawal selia itu menyalahi undang-undang dan mahu MCMC menggugurkan ‘arahan’ kepada Facebook yang meminta hantaran itu disekat.-23/1/2025 OLEH AHMAD SAUQI ABDUL RAZAK