Himpunan Rakyat Benci Rasuah tetap bersemangat walaupun kurang sambutan

Sekalipun polimek menjelang ia berlangsung agak gegar gempita namun Himpunan Rakyat Benci Rasuah agak kurang mendapat sambutan.
Cuma lebih 200 orang kebanyakannya mahasiswa dan golongan belia sertai himpunan selama sekitar dua jam di pusat bandar Kuala Lumpur.
Tidak kelihatan mana mana pimpinan parti politik pembangkang sertai himpunan itu.
Berbeza dengan suasana sebilangan himpunan pada masa lampau ia berlangsung secara aman dan tenang.
Himpunan bermula jam 2.30 petang di depan pusat beli belah Sogo dimana peserta kemudian berarak melalui Jalan Tunku Abdul Rahman menuju ke Dataran Merdeka.
Mereka turut membawa sebilangan sepanduk karikatur yang ada kaitan dengan himpunan itu.
Pihak polis hanya berkawal menjaga keselamatan sekitar tanpa sebarang tindakan menghalang.

Juga tidak kedengaran sebarang provokasi dikalangan peserta.
Semasa di Dataran Merdeka sebilangan pimpinann pelajar telah berucap kepada peserta.
Sementara itu semasa sidang akhbar kemudian Sekretariat Himpunan Rakyat Benci Rasuah menuntut kerajaan sekarang melaksanakan tiga perkara bagi memastikan politik Malaysia bersih dan bebas daripada rasuah.
Tiga tuntutan itu melibatkan pemisahan Jabatan Peguam Negara (AGC) daripada Pejabat Perdana Menteri (PMO), membebaskan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) daripada kuasa eksekutif dan mewujudkan Akta Pendanaan Politik.
Setiausaha Sekretariat, Zaim Zulkifli dakwa kerajaan pada masa kini tidak komited terhadap isu berkaitan rasuah seperti dilaungkan sewaktu menjadi pembangkang dulu.

“Dahulunya mereka antara pihak yang tegas bersuara berkaitan isu rasuah namun apabila mereka menjadi kerajaan sekarang, isu rasuah itu dipandang ringan.
“Keadaan juga meragukan apabila kerajaan nampak seperti tidak komited terhadap institusi kehakiman apabila AGC, SPRM dan sebagainya mula dipersoalkan oleh rakyat.
“Kita nampak satu trend apabila satu parti itu menjadi kerajaan, ia akan mengenakan parti lawan atau pembangkang dan situasi ini merisaukan kita,” katanya.
Pada Jumaat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau tidak melarang penganjuran Himpunan Rakyat Benci Rasuah yang akan berlangsung Sabtu di ibunegara.
Menurutnya, kebenaran sudah diberikan pihak berkuasa terlibat kecuali beberapa lokasi yang tidak mendapat kelulusan.
Namun, beliau akui hairan apabila himpunan itu mensasarkan era pentadbirannya yang baru masuk dua tahun berbanding kes-kes berprofil tinggi pada era sebelumnya.
“Kita tak ada masalah, kebenaran sudah diberikan. Menteri Dalam Negeri sebut, cuma ada tempat yang tidak diberi kebenaran, bagi saya tak ada masalah.
“Nak bantah, bantahlah rasuah. Soalnya rasuah ini dibangkit ini yang sekarang, saya jadi Perdana Menteri dua tahun, apa dia masalah rasuah? Ini yang ditumpukan (penganjur),” katanya.
Anwar turut menegaskan beliau tidak akan bertolak ansur dengan sebarang rasuah di semua peringkat sepanjang pentadbirannya.
Sebelum itu timbul polimek bila polis memaklumkan penganjur gagal mematuhi syarat Akta Perhimpunan Aman kerana tidak mendapat persetujuan Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur (DBKL) sebagai pemilik Dataran Merdeka.
Bagaimanapun Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution mengarahkan polis untuk menjadi pemudah cara kepada peserta yang menyertai perhimpunan itu.
Katanya kerajaan yang ada hari ini sentiasa menghormati kebebasan berhimpun sebagaimana diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan kepada setiap rakyat.-24/1/2025