Hubungan Malaysia dan China melangkaui perdagangan dan pelaburan, merangkumi pemahaman dan penghormatan bersama terhadap budaya serta tamadun kedua-dua negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata aspek unik dalam hubungan Malaysia dan China itu perlu dipupuk seiring dengan kerjasama ekonomi.
“Kita raikan persahabatan ini,”kata Anwar sambutan Tahun Baru Cina 2025 yang dianjurkan bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia dan Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan China di Kuala Lumpur pada Sabtu.
Menurut Anwar, semasa perbincangannya bersama Presiden China Xi Jinping, mereka bukan sahaja membincangkan hubungan ekonomi, perdagangan, dan pelaburan, tetapi juga keperluan membina persahabatan ini berdasarkan kepercayaan dan penghormatan bersama.
“Seperti peribahasa Cina mengatakan ‘selepas merentasi gunung dan sungai, kita akan tiba ke sebuah kampung yang dikelilingi pohon willow dan bunga-bungaan’,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sambutan Tahun Baru Cina 2025 yang dianjurkan bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia dan Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan China.
Ketibaan Anwar yang mengenakan kemeja tradisional kaum Cina ‘Tangzhuang’ berwarna merah sekitar jam 8.30 tadi disambut meriah dengan kehadiran lebih 300 tetamu.
Dalam acara sama, pertunjukan dron diadakan di pekarangan KLCC sebagai simbolik sambutan. Semua tetamu kenamaan turut melakukan upacara menggaul Yee Sang.
Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing dan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.
Selain itu, Menteri Kebudayaan dan Pelancongan China, Sun Yeli.
Anwar berkata, Festival Musim Bunga yang dikenali di Malaysia sebagai Tahun Baharu Cina menjadi bukti kepada perpaduan masyarakat majmuk Malaysia.
Anwar berkata penekanan China dalam mempromosikan penghormatan budaya adalah sejajar dengan prinsip keterangkuman Malaysia, yang memastikan setiap rakyat mempunyai tempat di Malaysia.
“Perayaan ini menyatukan rakyat daripada semua golongan komuniti, budaya dan wilayah di seluruh Malaysia. Ia mencerminkan komitmen kita terhadap keharmonian dan penghargaan bersama.
“Secara bersama, kita telah melangkaui ketidakpastian untuk merangkul masa depan dengan kerjasama yang berkembang pesat dan matlamat yang dikongsi bersama,” kata beliau.
Perdana Menteri turut menekankan inisiatif tempatan seperti persembahan kebudayaan, projection mapping dan pameran kaligrafi di Melaka dan Pulau Pinang, sebagai contoh bagaimana Malaysia meraikan kepelbagaian tradisi.-26/1/25