
PLUS Malaysia dalam satu kenyataan terkini di laman media sosialnya memaklumkan bahawa diskaun tol sebanyak 50 peratus sempena perayaan Tahun Baharu Cina kali ini, hanya ditawarkan kepada pengguna kenderaan persendirian atau kelas 1.
Diskaun berkenaan akan bermula pada jam 12.01 tengah malam ini hingga 11.59 malam, Selasa.
“Ikuti panduan berikut untuk menikmati tawaran 50 peratus diskaun tol di Lebuhraya PLUS sempena musim perayaan ini.
“Rancang perjalanan anda dengan MyPLUS-TTA atau Aplikasi PLUS. Pandulah secara berhemah,” kata kenyataan berkenaan.
Pada Jumaat lalu, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengumumkan kerajaan bersetuju memberi diskaun tol 50 peratus dari kadar tol biasa sempena Tahun Baharu Cina.

Katanya, keputusan ditetapkan dalam mesyuarat Kabinet pada hari itu yang membabitkan implikasi kewangan ditanggung kerajaan berjumlah RM20.08 juta sebagai pampasan kepada syarikat konsesi tol.
Beliau turut memaklumkan bahawa sejak 2023 hingga 2024, kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM356.18 juta sebagai pampasan bagi pelaksanaan bantuan Tol Percuma Musim Perayaan.
Beliau berkata, potongan tol akan dilaksanakan bermula pada jam 12.01 tengah malam 27 Januari (Isnin) dan berakhir jam 11.59 malam 28 Januari bagi kenderaan persendirian Kelas 1 sahaja.
“Ia dilaksanakan di semua plaza tol kecuali plaza tol di sempadan negara iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Plaza Tol Tanjung Kupang Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA),” katanya.
Sementara itu, Bernama melaporkan seorang kerani pentadbiran, Zaliha Baha, 40, berharap kerajaan dapat memberikan potongan bayaran tol semasa Hari Raya Aidilfitri nanti, khususnya kepada pemilik kenderaan berkapasiti enjin 1.3 cc ke bawah kerana golongan ini lazimnya berpendapatan rendah dan sederhana.
“Sekiranya golongan sasar ini menerima diskaun atau pengecualian tol, sudah semestinya ia menjimatkan perbelanjaan semasa balik kampung dan dapat menyambut perayaan dengan lebih bermakna,” katanya.
Manakala suri rumah, Masiah Nasran, 57, menyifatkan keputusan tersebut sebagai tindakan yang sangat tepat terutamanya dengan peningkatan pelbagai bentuk bantuan yang diberikan kepada rakyat pada ketika ini.
“Bagi saya, potongan tol separuh itu adalah langkah terbaik kerana selain itu, bantuan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga telah dinaikkan,” katanya ketika ditemui Bernama di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) di sini hari ini.
Masiah turut mengalu-alukan usaha kerajaan mengurangkan harga tiket penerbangan sempena musim perayaan, yang dilihat dapat meringankan beban kewangan isi rumah, khususnya bagi mereka yang merancang untuk pulang ke kampung halaman.
Senada dengan itu, Muhammad Firman Shah, 20, turut menyokong inisiatif kerajaan tersebut dan berpendapat bahawa langkah ini memberikan lebih manfaat kepada rakyat berbanding sekiranya tol diberikan secara percuma.
“Bagi saya, ini adalah langkah terbaik kerana jika tol diberikan percuma, ia mungkin tidak memberikan hasil kepada kerajaan. Jadi, dengan potongan 50 peratus ini, ia masih dapat membantu rakyat sambil memastikan keberlanjutan sumber kewangan negara,” katanya.-27/1/2025 OLEH AHMAD SAUQI ABDUL RAZAK