
Di tengah-tengah sambutan lawatan rasmi Presiden Indonesia Prabowo Subinto ke Malaysia… media dua negara dihangatkan dengan kejadian tembakan di Pantai Morib yang menyebabkan seorang mati dan empat cedera.
Semuanya dipercayai warganegara Indonesia yang balik ke negara itu secara haram melibatkan pegawai peronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Kedutaan Indonesia di Malaysia telah menghantar nota diplomatik kepada Malaysia berhubung insiden tembakan tersebut.
Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Datuk Hermono, telah mengesahkan perkara itu tetapi enggan mengulas lanjut. Beliau berkata pihak kedutaan juga sedang menunggu akses untuk bertemu dengan empat suspek yang cedera dalam kejadian berbalas tembakan itu.
“Kami masih menunggu akses untuk bertemu mangsa yang terselamat. Setakat ini, tiada sebarang komen. Kami tidak boleh mendedahkan identiti mereka kerana perkara itu masih dalam siasatan,” katanya ketika dihubungi NST.
Pada 24 Jan, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata kejadian tembakan di perairan Pantai Morib, Kuala Langat, menyebabkan seorang maut dan empat lagi cedera.
Sementara itu, Antara News melaporkan, Kementerian Perlindungan Pekerja Migran Indonesia menggesa kerajaan Malaysia untuk menyiasat kejadian tembakan itu yang membabitkan pegawai Maritim Malaysia dengan lima pekerja migran negara berkenaan.
“Kementerian menggesa kerajaan Malaysia untuk segera menyiasat insiden ini dan mengambil tindakan tegas terhadap pegawai ronda APMM sekiranya terbukti mereka menggunakan kekerasan berlebihan,” kata Timbalan Menteri di Kementerian Perlindungan Pekerja Migran Indonesia, Christina Aryani, seperti dipetik Antara News.
Aryani berkata, kementeriannya juga sedang merancang untuk mengadakan pertemuan dengan kerajaan Malaysia bagi membincangkan langkah pencegahan bagi memastikan insiden sedemikian tidak berlaku lagi.
Manakala, Channel News Asia melaporkan Pengarah Perlindungan Warganegara Indonesia di Kementerian Luar Negeri Indonesia, Judha Nugraha, berkata Kedutaan Indonesia akan menghantar nota diplomatik untuk menggesa siasatan terhadap kejadian terbabit, termasuk kemungkinan penggunaan kekerasan berlebihan.-27/1/2025