Thursday - 10, July 2025

Ini kata Prabowo selepas lawatan ke Malaysia… Potensi ASEAN setanding EU

Share

Presiden Indonesia Prabowo Subianto melihat sinergi antara Malaysia, Indonesia dan rakan-rakan ASEAN amat penting untuk memastikan suara rantau ini lebih didengari di peringkat global.

Beliau menegaskan hubungan erat antara Malaysia dan Indonesia, sebagai negara serumpun yang berkongsi sejarah, budaya, etnik dan agama, harus dijadikan asas kepada kerjasama strategik yang lebih kukuh, seterusnya memperkukuh perpaduan ASEAN.

“Dari segi geopolitik kita sedar bahawa dunia sekarang penuh dengan ketegangan, ketidakpastian. Kerana itu pandangan Malaysia dan Indonesia, perlu kita konsultasi terus, perlu kita sinergikan terus bersama kawan-kawan ASEAN yang lain.

“Hanya dengan kesatuan di antara negara ASEAN, hanya dengan kerjasama yang baik di antara kita, suara kita lebih didengar, kita lebih diperhitungkan oleh kekuatan yang jauh lebih besar daripada kita,” katanya.

Dalam sidang media bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Menara Berkembar Petronas sempena lawatan negara ke Malaysia pada Isnin, Prabowo menekankan bahawa ASEAN, dengan lebih 600 juta penduduk, memiliki potensi besar yang setanding dengan Kesatuan Eropah (EU).

“Seluruh dunia mengakui Asia Tenggara sebagai rantau pertumbuhan dan sekarang Asia Tenggara selama beberapa dekad merupakan rantau keamanan.

“Kita tidak ada konflik di antara negara ASEAN. Untuk itu, saya dengan PM Anwar dengan pertemuan sangat intensif, membahas banyak masalah dan kerjasama, intinya adalah keputusan politik, keazaman politik bahawa Malaysia dan Indonesia harus bekerjasama dengan erat,” katanya.

Mengulas mengenai Palestin, Prabowo berkata Malaysia dan Indonesia berkongsi pendirian yang sama dalam menyokong penyelesaian dua negara.

“Masalah Palestin, kita berada dalam satu garis. Kita tetap mendukung kemerdekaan Palestin dan kita sangat tegas bahawa satu-satunya penyelesaian adalah penyelesaian dua negara.

“Itu yang selalu kita sampaikan. Kita menerima dengan baik gencatan senjata sekarang dan tentunya kita berharap gencatan senjata ini akan bertahan,” katanya.

Dalam pada itu, Prabowo memberikan komitmen Indonesia menyokong kepimpinan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025.

“Kami mendukung Malaysia sebagai ketua ASEAN tahun ini,” katanya.

Malaysia secara rasmi memegang jawatan Pengerusi ASEAN 2025 bermula 1 Jan dengan mengetengahkan tema “Keterangkuman dan Kemampanan”. Sebelum ini, Malaysia pernah memegang jawatan Pengerusi ASEAN pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.

ASEAN kini dianggotai 10 negara Asia Tenggara iaitu Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kunjungan Prabowo ke Malaysia atas jemputan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sebagai sangat bermakna, terutamanya apabila beliau dikurniakan Darjah Kerabat Johor Yang Amat Dihormati Pangkat Pertama (D.K.1) pada sesi menghadap di Istana Negara.

“Itu tanda persahabatan, kekeluargaan dengan keluarga Sultan Ibrahim, Johor dan tentunya kita senang dengan perkembangan ini yang menunjukkan keistimewaan, keunikan persahabatan dan hubungan yang tidak berlaku di antara mana-mana negara lain,” kata beliau.

Anwar turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Presiden Indonesia itu yang disifatkannya sebagai sahabat setia dan saudara yang dekat, dalam masa senang dan susah.

“Jadi sekali lagi bagi pihak saya dan keluarga, saya ucapkan setinggi-tinggi penghargaan terima kasih kepada sahabat dan saudara saya, saudara Prabowo Subianto yang dekat dalam masa senang susah, hanya di antara sahabat setia saya yang sentiasa memerhatikan dan mengambil berat dalam masa duka lara saya yang panjang.

“Tidak ramai yang kita boleh catat kehebatan, keikhlasan mereka dan saya senaraikan Prabowo Subianto di antara yang terkecuali kerana kedekatannya dan kesungguhannya sehinggakan menimbulkan juga ketidaksenangan dengan kemarahan daripada pihak tertentu pada ketika itu,” kata beliau.

Anwar dan Prabowo sebelum itu mengadakan pertemuan dan mesyuarat dua hala yang berlangsung lebih satu jam sebelum sidang media berlangsung.

Sebagai jiran rapat yang mempunyai hubungan kukuh dan ahli pengasas ASEAN, lawatan negara ini mencerminkan komitmen kedua-dua negara untuk memperkukuh hubungan strategik demi kemakmuran bersama. Hubungan itu merentasi pelbagai bidang termasuk politik, ekonomi, pertahanan, kesalinghubungan, pendidikan dan sosiobudaya.

Dari Januari hingga November 2024, jumlah perdagangan dua hala antara kedua-dua negara mencatat RM106.06 bilion (US$23.2 bilion), meningkat daripada RM101.99 bilion (US$22.41 bilion) yang direkodkan dalam tempoh sama pada 2023.

Pada 2023, Indonesia merupakan rakan dagang kelapan terbesar Malaysia pada peringkat global dan ketiga terbesar dalam ASEAN, dengan jumlah perdagangan sebanyak RM111.21 bilion (US$24.39 bilion).-28/1/2025

Read more

khabar terbaru