Mempunyai anak autisme memang cabaran terutamanya ketika nak bercuti ke luar negara… terutama apabila kena naik kapal terbang.
Banyak kerenah yang nak kena layan dan kadang-kadang kita jadi hilang sabar.
Sebab itu, dalam usaha untuk bersifat lebih inklusif untuk pelanggan autisme, syarikat penerbangan Emirates menjadi syarikat penerbangan pertama di dunia yang diberikan pentauliahan mesra autisme.
Pensijilan oleh Lembaga Piawaian Pendidikan Berterusan dan Pengiktirafan Antarabangsa (IBCCES) itu bakal dianugerahkan secara rasmi kepada Emirates dalam beberapa bulan mendatang setelah lebih 30,000 kakitangan syarikat tersebut menjalani latihan baru yang tertumpu kepada autisme dan sensitiviti deria.
Di bawah latihan itu, kakitangan syarikat penerbangan tersebut akan dilengkapi dengan pemahaman serta kemahiran untuk menangani keperluan penumpang yang mengalami autisme dan sensitiviti deria, serta keluarga mereka.
Latihan itu bertujuan mendidik pasukan Emirates, antaranya mengenai spektrum autisme, salah tanggapan dan cabaran yang dihadapi, di samping pelbagai cara untuk membantu golongan autisme berdasarkan keperluan masing-masing, menurut kenyataan media syarikat itu.
Bagi sebahagian besar golongan autisme, perjalanan udara merupakan pengalaman yang sangat sukar atau sesuatu yang dielak sepenuhnya disebabkan tahap rangsangan deria yang mungkin tinggi.
Berdasarkan tinjauan di AutismTravel.com, 78 peratus keluarga teragak-agak untuk melancong atau berkunjung ke lokasi baru dan 94 peratus responden akan bercuti ke luar negara sekiranya mempunyai akses ke tempat di mana kakitangannya bertauliah dan dilatih untuk menangani golongan autisme.
Justeru, mulai 2025, Emirates akan memperkenalkan piawaian dan perkhidmatan baru bagi pelanggan yang mengalami autisme serta cabaran deria supaya mereka dapat menikmati perjalanan yang lebih mudah diakses dan dinikmati.
Salah satu perkhidmatan adalah panduan deria dalam bentuk digital dengan penumpang boleh membuat keputusan berdasarkan pengetahuan mengenai pelbagai sekitaran yang dialami dan merancang apa yang sesuai berdasarkan keperluan mereka.
Bagi penumpang autisme yang menaiki pesawat Emirates, mereka juga bakal menerima mainan atau alat bantuan deria yang boleh menggalakkan tumpuan, membantu mengurangkan tingkah laku stimulasi diri dan menghilangkan tekanan.
Langkah terkini Emirates turut menyokong cita-cita Dubai untuk menjadi destinasi paling mudah diakses di seluruh dunia.
Pada April 2024, Emirates meraih gelaran Pusat Autisme Bertauliah bagi keempat-empat kemudahan daftar masuknya di Dubai termasuk hab khususnya di Terminal 3 Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai.
Pada Disember 2023, Lapangan Terbang Dubai telah diraikan sebagai lapangan terbang antarabangsa pertama yang menerima gelaran Pusat Autisme Bertauliah.-28/1/2025