Wednesday - 5, February 2025

Awas…Zahid ada strategi untuk jadikan UMNO parti dominan semula

Share

Presiden MNO Datuk Seri Dr Zahid Hamidi mengambarkan beliau mampu kemudi UMNO hingga kembali menjadi parti dominan semula sekalipun berdepan pelbagai cabaran dalaman dan luaran.

Malah Timbalan Perdana Menteri itu tidak gusar dengan situasi partinya yang semakin mengecil dengan ketiadaan sebilangan pemimpin berpengaruh yang telah dipecat atau digantung keahlian.

Menurutnya UMNO kini semakin kecil disebabkan perpecahan dalaman sehingga menyebabkan ia hanya mampu memenangi 26 kerusi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), November 2022.

Baginya adalah lebih baik parti itu menjalani bahtera dengan bilangan ahli yang kecil daripada mempunyai individu yang disifatkan seperti ‘duri dalam daging’.

“Biarlah sedikit pun ahli UMNO, tapi mereka taat dan setia kepada parti, kita tidak mahu menjadi seperti buih di lautan,”katanya dalam interbiu menerusi podcats Buletin TV3 pada Ahad.

Zahid memberitahu UMNO sedang menyusun strategi untuk menjadikan parti berkenaan dominan semula menerusi beberapa kaedah.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkannya dan akan berbincang dengan kepimpinan parti untuk menentukan hala tuju UMNO.

Presiden UMNO itu menegaskan fokus utamanya kini adalah untuk memperkukuhkan perpaduan dalam parti.

“Mereka yang sudah keluar boleh terus keluar. Mereka yang ‘keluar sekejap’ boleh kekal di luar untuk selama-lamanya,”katanya tanpa menyebut nama sesiapa.

Keluar Sekejap adalah nama podcast dikendalikan oleh bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin bersama bekas Ketua Penerangan, Shahril Hamdan.

Khairy yang juga bekas Menteri Kesihatan, dipecat daripada UMNO pada Januari 2023 kerana melanggar disiplin parti pada PRU-15. Shahril pula dikenakan penggantungan selama enam tahun daripada parti pada Ogos 2022.

Pada Disember tahun lalu, Zahid berkata Khairy dialu-alukan kembali ke UMNO jika beliau dapat membuktikan komitmennya kepada parti.

Bagaimanapun, Khairy menyatakan bahawa beliau hanya akan menyertai semula parti itu sekiranya UMNO komited untuk menjadi parti lebih baik.

Turut berdepan dengan tindakan digantung enam tahun ialah bekas Naib Presiden UMNO dan Ahli Parlimen Sembrong Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Manakala yang turut dipecat pula ialah bekas Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Annuar Musa dan bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor Datuk Noh Omar.

Zahid berkata “apa yang penting adalah penyatuan dan perpaduan, jika ada gunting dalam lipatan atau kaduk naik junjung, saya fikir orang seperti ini tidak diperlukan (dalam parti)”.

Dalam pada itu, Zahid menafikan dirinya tidak boleh dikritik sebaliknya tindakan diambil terhadap mereka yang mengkritik parti.

“Saya tidak mengetepikan sesiapa pun, tapi kalau kritik parti bayarlah harga sepatutnya. (Tindakan) itu diberikan bukan pada (mereka yang kritik) saya.

“Individu yang mengkritik saya secara peribadi, saya tidak pernah lakukan sebarang tindakan, cuma (tindakan dikenakan) kepada mereka yang menyentuh parti,” katanya.

Zahid juga menceritakan bagaimana beliau kekal dalam UMNO meskipun berdepan dengan ujian.

“Macam saya, 87 pertuduhan (mahkamah) jelas bahawa itu satu pertuduhan yang sengaja dibuat tetapi apabila saya pertahankan diri di mahkamah jelas 40 kes di Mahkamah Shah Alam dilepas dan dibebaskan, bukti dan saksi cerita perkara sebenar.

“47 kes di Mahkamah Kuala Lumpur pun saya jalani perbicaraan lebih tiga tahun dan saya tetap kekal dalam Umno dan tidak ada kekhuatiran walaupun tuduhan itu setelah saya diugut untuk bubarkan UMNO dan sertai mereka.

“Harga yang saya bayar itu mahal kerana tak mahu sertai Perdana Menteri yang hanya 22 bulan jadi saya bayar… apa nak takut?,” katanya.- 2/2/2025

Read more

khabar terbaru