Kehidupan dan legasi Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, kini diabadikan dalam dua buku baharu berjudul Pejuang Sejati: Dari Rimba Ke Astana dan 365 Days in Astana: The Story and Portraits of TYT Sarawak Tun Pehin Sri Dr Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Pelancaran buku tersebut di Dewan Santapan, Kompleks Dewan Undangan Negeri Sarawak malam tadi disempurnakan oleh Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang turut diserikan dengan kehadiran Tun Wan Junaidi bersama-sama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.
Dihasilkan oleh penulis kelahiran Sarawak, kedua-dua buku ini memberikan gambaran mendalam mengenai perjalanan hidup Wan Junaidi – daripada kerjayanya dalam bidang penguatkuasaan undang-undang sehingga ke jawatan tertinggi sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak.
Pelancaran buku ini berfungsi sebagai penghormatan terhadap legasi Tun Wan Junaidi, sekali gus membolehkan rakyat memahami lebih dekat perjalanan seorang negarawan terbilang Sarawak.
Ketua Pegawai Eksekutif Suara Sarawak dan Sarawak Tribune Datuk Dr Jeniri Amir bersama-sama Editor Eksekutif Suara Sarawak Rohana Wahed, menerajui penerbitan karya ini bagi merakamkan sumbangan Tun Wan Junaidi kepada Bumi Kenyalang.
Dr Jeniri menjelaskan, Pejuang Sejati: Dari Rimba Ke Astana merungkai perjalanan hidup Tun Wan Junaidi sejak muda sebagai pegawai polis yang berjuang menentang insurgensi komunis serta peranan pentingnya dalam landskap politik Sarawak.
Sementara itu, 365 Days in Astana: The Story and Portraits of TYT Sarawak Tun Pehin Sri Dr Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar memaparkan tahun pertama beliau sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak.
Buku ini menawarkan pandangan unik tentang kepimpinan, pentadbiran, serta komitmennya terhadap perkhidmatan awam.
Menambahkan elemen seni dalam majlis tersebut, sebuah puisi nukilan Tun Wan Junaidi sendiri iaitu Tanah Diladangkan, diadaptasi menjadi lagu dan dipersembahkan buat pertama kali.
Majlis ini turut dimeriahkan dengan persembahan tarian memukau daripada Karya Terindah Performing Arts di bawah arahan Majlis Seni Sarawak, selain persembahan muzik artis terkenal seperti Bob Yusuf, Fauziah Gambus, Ahmad Yasin, dan Roslan Madun.
Tun Wan Junaidi, 79, dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak pada 26 Januari 2024.
Mengikut Perkara 1 Perlembagaan Sarawak, tempoh jawatan beliau selama empat tahun, dari 26 Januari 2024 hingga 26 Januari 2028.-3/2/2025