Syukurlah, tindakan kerajaan mewajibkan majikan yang mempunyai lima pekerja atau lebih memastikan gaji setiap mereka RM1,700 ke atas melegakan kumpulan yang selama ini digelar golongan marhean.
Mereka rata-rata pekerja peringkat paling bawah yang sering dilupakan, contohnya operator kilang.
Menurut salah seorang operator kilang Ahmad Subari Ismail, 25, yang tinggal di Bukit Katil Melaka, pelaksanaan perintah berkenaan memberi suntikan semangat kepadanya sebagai operator pengeluaran di sebuah kilang makanan di Ayer Keroh sejak lima tahun lepas.
Bapa kepada dua anak itu berkata menerusi pelaksanaan gaji minimum baharu itu secara tidak langsung membuatkannya tidak terlalu bergantung kepada kerja lebih masa untuk memastikan gaji diterima setiap bulan mampu menampung keperluan keluarga.
“Alhamdulillah, gembira dan syukur kerana kerajaan laksanakan perintah gaji minimum…pastinya ramai pekerja terutama sektor perkilangan mendapat manfaat atas kenaikan gaji baharu ini.
“Lagipun, sekarang kita tidak boleh berharap kepada kerja lebih masa kerana pihak majikan sudah kurangkan banyak peruntukan tersebut,” katanya dipetik Bernama.
Manakala, pekerja sektor pembersihan, J. Rajanathan, 44, dari Bukit Rambai di sini berkata pelaksanaan gaji minimum memberi kelegaan kepadanya kerana kenaikan gaji baharu itu sedikit sebanyak dapat digunakan untuk perbelanjaan barangan keperluan.
“Gembira sebab gaji saya sebelum ini tidak sampai RM1,500, kalau betul gaji baharu naik kepada RM1,700, pertambahan kira-kira RM200 itu dapat juga tampung perbelanjaan dapur,” katanya yang menanggung ibu terlantar akibat sakit tua manakala isterinya tidak bekerja.
Bagi Noor Azmin Talib, 33, pelaksanaan perintah gaji baharu itu membuktikan kerajaan serius meningkatkan taraf ekonomi pekerja di peringkat bawah seiring dengan peningkatan kos sara hidup.
“Saya belum berkahwin tetapi komitmen bulanan pun agak tinggi dan jarang dapat menyimpan, jika jika gaji naik nanti duit itu saya akan simpan untuk kecemasan,” kata pekerja sektor peruncitan itu.
Sebelum ini X-Press.my melaporkan 4.37 juta pekerja akan menerima gaji minimum RM1,700 sebulan berbanding RM1,500 sebelum ini berikutan pelaksanaan Perintah Gaji Minimum baharu berkuat kuasa secara rasmi mulai 1 Februari.
Perintah itu terpakai kepada majikan yang menggajikan lima orang pekerja atau lebih dan majikan yang menjalankan aktiviti profesional, tanpa mengambil kira bilangan pekerja yang digajikan oleh majikan berkenaan.
Bagi majikan yang menggajikan kurang daripada lima pekerja, tarikh kuat kuasa akan bermula pada 1 Ogos depan bagi memastikan majikan diberi tempoh mencukupi untuk melakukan penyesuaian dalam struktur gaji dan operasi syarikat masing-masing.-3/2/2025 OLEH AHMAD SAUQI ABDUL RAZAK