Monday - 14, July 2025

Pengguna 5G Malaysia lebih 53 peratus, sedia kongsi kepakaran dengan Uzbekistan

Share

Pengguna rangkaian 5G di seluruh negara mencecah 53.35 peratus atau 18.19 juta langganan setakat suku keempat tahun lepas, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Beliau berkata ia adalah pencapaian terbaik dalam tempoh singkat dan merupakan langkah besar dalam usaha membangunkan infrastruktur telekomunikasi yang lebih baik untuk semua.

“Perkembangan positif ini antara dibentang dalam Mesyuarat Penyelarasan Pelaksanaan Dwirangkaian 5G yang saya pengerusikan di Kementerian Komunikasi hari ini,” katanya menerusi hantaran di media sosial pada Rabu.

Fahmi berkata liputan 5G di kawasan berpenduduk di seluruh negara juga telah mencapai 82.4 peratus dalam tempoh berkenaan sekali gus memperkukuh infrastruktur digital negara.

“Ini pasti membuka lebih banyak peluang untuk inovasi, meningkatkan produktiviti serta membawa kebaikan buat rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata mesyuarat berkenaan turut meneliti dan memutuskan beberapa perkara khusus berkait hala tuju Digital Nasional Berhad (DNB) serta rangkaian kedua diterajui U Mobile, yang akan diumum tidak lama lagi.

Sementara itu, Kementerian Komunikasi sedia untuk berkongsi kepakaran dengan Uzbekistan berkaitan pelaksanaan rangkaian 5G di Malaysia dan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).

Fahmi berkata perkongsian kepakaran itu diharap dapat mempercepat transformasi digital di pelbagai sektor yang akan meningkatkan daya saing global dan kesejahteraan masyarakat.

Beliau berkata kesediaan kementerian untuk berkongsi kepakaran itu selari dengan pertemuan antara Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching bersama Timbalan Menteri Teknologi Digital Uzbekistan Maxsudov Jamol di Putrajaya pada Mei lepas.

“Perbincangan kedua-dua pihak (dalam pertemuan itu) antara lain menekankan kepentingan memperkukuh hubungan melalui teknologi 5G, keselamatan dalam talian, serta pembangunan ekosistem digital yang mampan,” katanya.

Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata peningkatan hubungan dua hala antara Malaysia dan Uzbekistan ke tahap perkongsian strategik, akan memberi manfaat besar kepada rakyat kedua-dua negara selain memperkukuh kerjasama ASEAN dengan negara berkenaan.

“Lawatan rasmi Presiden Uzbekistan Shavkat Mirziyoyev ke Malaysia membuktikan komitmen tersebut dan amat dihargai oleh kerajaan,” kata Fahmi.

Mirziyoyev tiba di Malaysia semalam untuk lawatan rasmi selama dua hari atas jemputan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam kenyataan bersama Anwar dan Mirziyoyev hari ini, Malaysia dan Uzbekistan mengiktiraf kepentingan memperkukuh hubungan dua hala sedia ada serta menzahirkan komitmen bersama untuk meningkatkan hubungan ke tahap perkongsian strategik pada masa hadapan.

Kenyataan yang dikeluarkan sempena lawatan rasmi Mirziyoyev ke Malaysia itu antara lain turut menyentuh mengenai kepentingan memperluas kerjasama pendidikan dalam bidang seperti penyelidikan bersama, perkongsian akademik, serta perkongsian kepakaran, untuk mempererat hubungan dan pertukaran pengetahuan antara dua negara.-6/2/2025

Read more

khabar terbaru