Monday - 21, April 2025

AS ambil alih Gaza: Pendirian Malaysia tidak berubah – PM

Share

Pendirian Malaysia terhadap Palestin tidak berubah susulan kenyataan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump bahawa AS akan mengambil alih Semenanjung Gaza, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kita sedang teliti kenyataan (Trump). Pendirian kita tidak berubah sepertimana pendirian negara-negara Islam yang lain, kita akan ulas kemudian,” kata Anwar ringkas kepada pemberita.

Media antarabangsa melaporkan Trump pada Selasa berikrar bahawa AS akan mengambil alih Semenanjung Gaza yang musnah akibat peperangan selepas penduduk Palestin dipindahkan ke negara lain, dengan rancangan untuk membangunkannya secara ekonomi.

Sementara itu, Mesir dan Palestin mengadakan pertemuan pada Rabu untuk membincangkan rancangan pemulihan bagi Semenanjung Gaza yang musnah akibat serangan Israel tanpa perlu memindahkan rakyat Palestin.

Perbincangan berlangsung dalam satu mesyuarat di Kaherah antara Menteri Luar Mesir, Badr Abdelatty dan Perdana Menteri Palestin yang juga Menteri Luar, Mohamed Mustafa.

Satu kenyataan yang dikeluarkan selepas mesyuarat itu menegaskan sokongan Mesir terhadap kerajaan Palestin serta rancangan reformasinya.

Kenyataan itu menekankan kepentingan “memberdayakan Pihak Berkuasa Palestin secara politik dan ekonomi untuk melaksanakan tugasnya di Semenanjung Gaza sebagai sebahagian daripada wilayah Palestin yang diduduki.”

Ia juga menyoroti keperluan mendesak untuk meningkatkan pemulihan di Gaza, memastikan penghantaran bantuan dan membersihkan runtuhan tanpa memindahkan rakyat Palestin dari kawasan itu.

Abdelatty turut mengulas usaha Mesir untuk mengekalkan perjanjian gencatan senjata Gaza dan melaksanakan semua syaratnya.

Sebelum ini, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dalam satu sidang media di Washington bersama Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pada Selasa berkata, AS “akan mengambil alih” Gaza selepas memindahkan rakyat Palestin ke tempat lain dalam satu rancangan pembangunan semula luar biasa yang didakwa boleh menjadikan wilayah itu sebagai “Riviera Timur Tengah.”

Presiden AS itu pertama kali mencetuskan kontroversi pada 25 Jan dengan mencadangkan rakyat Palestin di Gaza perlu dipindahkan ke Jordan dan Mesir dengan menyebut kawasan itu sebagai “tapak kemusnahan” selepas perang Israel.

Cadangannya, bagaimanapun, ditolak keras oleh Amman dan Kaherah.

Mesyuarat menteri enam negara Arab di Kaherah pada Sabtu menolak sekeras-kerasnya sebarang pemindahan penduduk Palestin dari Gaza dan mengulangi gesaan untuk melaksanakan penyelesaian dua negara dalam konflik Israel-Palestin.

Cadangan Trump itu dikemukakan selepas perjanjian gencatan senjata berkuat kuasa di Gaza pada 19 Jan, sekali gus menghentikan perang genosid Israel yang meragut lebih 47,500 nyawa rakyat Palestin dan menghancurkan wilayah berkenaan.

Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap pada November tahun lalu terhadap Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant atas tuduhan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.-6/2/2025

Read more

khabar terbaru