FOKUS

Agong berubat di luar negara… Kabinet doakan kesihatan Baginda

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berangkat ke luar negara pada 7 Februari, bagi menjalani rawatan.

Mengiringi bersama ialah dua putera Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman dan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar.

Istana Negara dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook Sultan Ibrahim memaklumkan perkara itu telah disembah maklum kepada Majlis Raja-Raja dan kerajaan Persekutuan.

“Seluruh rakyat diminta mendoakan semoga Seri Paduka Baginda dikurniakan kesembuhan segera dan keafiatan yang berpanjangan,” menurut kenyataan itu, pada 7 Februari.

Sultan Ibrahim berlepas ke luar negara pada pagi 7 Februari dari Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang.

Sementara itu, Jemaah Menteri pada Jumaat mendoakan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dikurniakan kesihatan, keafiatan dan selamat menerima rawatan perubatan di luar negara.

Perkara itu dizahirkan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil pada sidang media pascamesyuarat Kabinet.

“Setakat ini pagi tadi Seri Paduka Baginda telah berangkat dan kita mengikuti perjalanan rawatan Tuanku,” katanya.

Ditanya mengenai pengganti sepanjang ketiadaan Seri Paduka Baginda dalam menjalani urusan rasmi negara, Fahmi berkata kerajaan akan merujuk kepada Perlembagaan Persekutuan.

“Kita berpandukan kepada Perlembagaan Persekutuan dan ada tempohnya dan ada mekanismenya. Jadi kita akan turuti seperti apa yang ada dalam Perlembagaan,” katanya.

Pada 2023, Sultan Ibrahim pernah menjalani pembedahan pada bahu kanan akibat kecederaan lama di Hospital Pakar Damansara 2 (DSH 2), Kuala Lumpur.

Pembedahan berlangsung selama hampir tiga jam serta berjalan lancar.

Pada 2016, Sultan Ibrahim juga pernah menjalani prosedur angioplasty di Pusat Perubatan Gleneagles di Singapura selepas mengadu sakit dada semasa beriadah dan berada dalam keadaan baik.

Istiadat Pembukaan Persidangan Parlimen Penggal Keempat Parlimen Ke-15 pada 3 Februari lalu yang dirasmikan Sultan Ibrahim, berlangsung tanpa upacara lazim iaitu perbarisan kehormat diraja, dipercayai berikutan keadaan kesihatannya.-7/2/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button