Monday - 14, July 2025

Proton bina kilang kenderaan elektrik pertama di Perak

Share

Kilang pemasangan kenderaan elektrik (EV) Proton Holdings Bhd di Tanjung Malim, Perak, menjadi lembaran baru dalam mengukuhkan pembangunan Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) sebagai sebagai pusat kecemerlangan automotif Malaysia dan hab kenderaan elektrik (EV) serantau.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, berkata Proton bakal menjadi pelabur terbesar di Perak menerusi pembinaan kilang pemasangan EV itu dan akan terus memainkan peranan strategik dalam memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju industri EV dengan pelaburan berterusan di AHTV.

Kilang bernilai RM82 juta itu bukan sahaja akan menghasilkan EV Proton – e.Mas 7, tetapi sekurang-kurangnya dua model EV akan datang.

“Sejak 2018, Proton telah melabur sebanyak RM2.3 bilion membuktikan komitmen jangka panjang syarikat ini dalam membangunkan ekosistem EV yang mampan dan berdaya saing.

“Pembinaan kilang EV Proton yang pertama di Malaysia mencerminkan kesungguhan kita terhadap teknologi hijau dan kemajuan industri automotif Malaysia,” katanya ketika berucap pada majlis pecah tanah kilang pengeluaran EV Proton, di Tanjung Malim, Perak, pada Jumaat.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr Li Chunrong, dan Timbalannya, Roslan Abdullah.

Saarani menegaskan bahawa Malaysia memiliki kelebihan unik dalam industri EV, termasuk ekosistem automotif kukuh, kepakaran dalam semikonduktor serta elektronik automotif, selain sokongan kerajaan seperti sasaran pemasangan 10,000 stesen pengecasan EV pada 2025.

Beliau turut memaklumkan bahawa pelaburan Proton tidak terhenti dengan pembinaan kilang EV baru, tetapi turut merangkumi kemudahan yang bakal disiapkan pada 2025 serta gudang moden yang dijadualkan siap pada 2026.

“Bagi memastikan ekosistem industri ini lebih berkesan dan kompetitif, kemudahan infrastruktur turut dipertingkatkan. Saluran paip gas ke AHTV kini mencapai 98 peratus pembinaan dan dijangka siap pada suku kedua 2025, membolehkan lebih banyak syarikat beroperasi dengan tenaga lebih cekap dan kos lebih kompetitif.

“Selain itu, AHTV telah dilengkapi dengan perkhidmatan 5G, meningkatkan daya saing kawasan ini serta menjadikannya lebih bersedia menerima pelabur berteknologi tinggi,” katanya.

Menurut Saarani, Malaysia tidak hanya bersaing di peringkat serantau, tetapi sedang membangunkan ekosistem industri EV yang lebih holistik melalui AHTV, yang semakin mendapat kepercayaan pelabur.

“Setakat ini, AHTV telah menarik penyertaan 22 syarikat vendor dengan jumlah pelaburan sebanyak RM705 juta, sekali gus membuka lebih 3,000 peluang pekerjaan kepada warga Tanjong Malim,” katanya.

Fasa pertama kilang pemasangan EV itu dijangka siap pada akhir 2025 dan kapasiti pengeluaran awal sebanyak 20,000 unit setahun. -7/2/2025

Read more

khabar terbaru