Chatbot Sebenarnya.my yang dilancarkan pada 28 Jan lepas, telah mendapat sambutan positif daripada pengguna, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.
“Purata dalam sehari Chatbot AIFA ini mengendalikan kira-kira 5,330 soalan pengguna dengan kebanyakannya memohon pengesahan daripada berita dan maklumat yang tersebar di media sosial terutamanya aplikasi WhatsApp,” katanya selepas Pelancaran Perayaan 60 tahun Silat Cekak Pusaka Hanafi di Wisma Radio RTM pada Ahad.
Chatbot yang diterajui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bertujuan memerangi maklumat palsu dan membolehkan pengguna menyemak berita tidak ditentusahkan dalam talian itu, setakat Khamis lepas telah menerima 53,302 soalan.
Terdahulu dalam ucapannya, Fahmi mempelawa persatuan seni silat di negara ini menjadi rakan strategik Kementerian Komunikasi terutamanya dalam usaha memerangi penyebaran berita palsu serta pendidikan tentang kepentingan melindungi keselamatan diri dalam talian.
“MCMC giat gerakkan kempen kesedaran keselamatan dalam talian. Di sini rakan-rakan persatuan boleh bersama, ikut program ke sekolah, pusat pengajian tinggi, untuk bantu kita tingkatkan pemahaman dan kesedaran pelajar tentang peri penting menjaga keselamatan diri bukan sahaja di dunia nyata malah dalam talian,” katanya.
Sementara itu, Fahmi mengingatkan orang ramai supaya mendapatkan maklumat terkini berkaitan kejadian tembakan di sebuah pusat beli-belah di Setia Alam semalam, melalui media rasmi dan polis sahaja.
Beliau berkata ia bagi mengelakkan orang ramai terjebak dengan maklumat palsu hingga berpotensi mencetuskan kegusaran awam.
Pada masa sama, Fahmi menasihati orang ramai supaya tidak terus mempercayai segala maklumat yang dilihat di media sosial, lebih-lebih lagi apabila melibatkan kes jenayah.
“Saya ingin beri peringatan, rujuklah media rasmi Bernama (Pertubuhan Berita Nasional Malaysia), RTM. Janganlah bertindak sebar maklumat seolah-olah kita berada di lokasi kejadian, seolah-olah kita penyiasat kes itu.
“Kemudian timbulkan pelbagai andaian dan teori, jadi perlulah berpada-pada. Paling saya risau bila kandungan atau laporan itu dihasilkan dan menunjukkan seolah-olah ia betul-betul berlaku,” katanya yang turut memberikan contoh tindakan seorang pempengaruh negara ini yang membuat kandungan palsu menyatakan rakan wanitanya hilang dalam hutan di Indonesia, baru-baru ini.-10/2/2025