Syarikat penerbangan Firefly Malaysia bakal memulakan dua laluan penerbangan langsung baru ke Kuching, Sarawak dan Singapura dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (SZB) atau Subang SkyPark di Selangor mulai 24 Mac.
Laluan baru ini akan beroperasi sehingga enam kali seminggu daripada 24 Mac, dan akan meningkat kepada tujuh kali seminggu mulai 30 Mac.
Penerbangan ini akan disediakan dengan pesawat Boeing 737-800 yang telah dibaik pulih milik syarikat penerbangan kos rendah itu, yang mampu membawa sehingga 200 penumpang.
Untuk meraikan ini, syarikat penerbangan tersebut menawarkan tambang promosi “all-in” untuk perjalanan sehala yang tersedia dari sekarang hingga 28 Februari.
Dalam satu kenyataan media, Pengarah Urusan Kumpulan Malaysia Aviation Group (MAG) – yang mengendalikan Firefly dan Malaysia Airlines, Datuk Kapten Izham Ismail, berkata
“Pelancaran laluan baru ini menandakan satu lagi pencapaian penting dalam misi Firefly untuk menawarkan sambungan dan kemudahan yang dipertingkatkan.
“Bagi melengkapi perkhidmatan enjin pesawat (turboprop) kami di SZB, kami bertujuan untuk menawarkan pengalaman perjalanan yang menggabungkan keselesaan, kemampuan dan kecekapan sambil membuka peluang perjalanan baru.”-10/2/2025