Selepas beberapa tahun terbeban dengan kadar sewa tapak di bazar Ramadan dan Aidilfitri yang mencecah puluhan ribu ringgit sebulan, peniaga di Kuala Lumpur terutama di tempat tumpuan utama kini dapat menarik nafas lega selepas kadar sewa diturunkan sehingga serendah RM500 setiap tapak pada 2025 ini.
Kadar sewa lebih berpatutan itu dinikmati peniaga di lebih 3,000 tapak di seluruh Kuala Lumpur terutama di kawasan seliaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang mengambil inisiatif menguruskan sepenuhnya hal berkaitan permohonan lesen perniagaan dan penyelenggaraan bazar Ramadan di ibu kota bermula 2025.
Dengan pendekatan baru DBKL itu, tiada lagi monopoli oleh pihak ketiga yang membolot sewaan tapak bazar daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) sebelum ‘menjual’ atau ‘menyewakan’ semula tapak kepada peniaga lain demi mengaut keuntungan beribu ringgit dengan mengenakan kadar sewa mencecah puluhan ribu ringgit.
Masalah itu sering dihadapi peniaga terutama di tempat strategik di tengah Kuala Lumpur antaranya Jalan Tuanku Abdul Rahman; Jalan Masjid India; dan Kampung Baru yang merungut kerana berdepan tekanan kos perniagaan tinggi menyebabkan mereka terpaksa meningkatkan harga barangan jualan.
Menerusi inisiatif DBKL itu, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengarahkan supaya PBT lain di seluruh Malaysia mengenakan tindakan pembatalan lesen perniagaan bazar Ramadan serta-merta, jika ada peniaga memindahkan atau ‘menjual’ lesen itu kepada pihak ketiga.
Menurut Anwar keadaan itu sudah berlarutan saban tahun selepas ada ejen yang menawarkan sewa tapak dan mengambil kesempatan mendapatkan komisen besar, malah lebih mendukacitakan ada penjawat awam yang tahu mengenai kegiatan itu dan turut bersekongkol.
“Kalau dia (peniaga) pindahkan lesen itu, batalkan (lesen) segera serta-merta. Ini memerlukan keputusan dan penguatkuasaan yang baik.
“Kalau ada persatuan yang ambil berpuluh ringgit untuk pengawasan dan kebersihan itu saya faham, tetapi ini (salah) kerana dia jual semula,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya pada 10 Februari.
Anwar berkata kepincangan pengurusan lesen bazar Ramadan yang menyebabkan kos sewaan terlalu tinggi kerana dikendalikan pihak ketiga bukan saja berlaku di Kuala Lumpur, tetapi juga di negeri-negeri lain dan perkara itu perlu ditangani segera dengan mencontohi langkah dilakukan DBKL.-11/2/2025