Friday - 14, March 2025

Keupayaan helikopter AW149 dipersoalkan di Dewan Rakyat…

Share

Kerajaan didakwa tergesa-gesa menganugerahkan kontrak secara rasmi dalam program sewaan helikopter secara Government Operate, Company Own and Maintan (GOCOM) bernilai RM16.54 bilion.

Ahli Parlimen Tanah Merah Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata, ini disebabkan timbul kemusykilan helikopter AW149 yang akan dibekalkan kepada pihak end-user dilihat tidak sesuai serta tidak memenuhi aspek keperluan operasi harian terutama kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Bekas Timbalan Menteri Pertahanan itu turut membangkitkan persoalan kepada Kementerian Pertahanan (Mindef) mengenai kemampuan helikopter yang dibekalkan itu sama ada mampu melaksanakan tindakan under-slug untuk mengangkut meriam artileri jenis 105milimeter (mm) pack howitzer yang sedang digunakan secara meluas oleh Tentera Darat Malaysia.

“Saya mohon Menteri Pertahanan (Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin) sewaktu menggulung persoalan saya ini untuk tidak perlu menghuraikan panjang atau cuba menjawab secara helah.

“Saya cuma minta beliau jawab ringkas sahaja, sama ada boleh atau tidak helikopter AW149 ini melaksanakan tindakan under-slung meriam 105mm pack howitzer sebagaimana keupayaan helikopter Nuri yang dilucut tauliah pada 2019,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas lanjut, Ikmal Hisham turut mempersoalkan mengapa Mindef perlu bersetuju dengan perbekalan helikopter AW149 untuk kegunaan ATM sekiranya ia tidak boleh melaksanakan tindakan basic under-slug yang biasa dilaksakan oleh Nuri dan 12 buah pesawat EC725 sedia ada.

“Bukankah ini fungsi utama di dalam doktrin operasi pesawat helikopter milik ATM antaranya bagi melaksanakan tindakan keperluan ulang-bekal di pos-pos terpencil, operasi latihan payung terjun pasukan khas serta tindakan operasi dan menyelamat (SAR) dalam keadaan bencana.

Ini belum lagi menyentuh aspek keupayaan lain seperti terbang dalam keadaan pelbagai cuaca seperti hujan lebat, rebut atau waktu malam mahupun mengejar bot-bot pancung penceroboh di kawasan sempadan maritim Malaysia.

“Saya sangat skeptikal pesawat helikopter AW149 yang akan digunakan oleh ATM dalam kontrak GOCOM ini mampu dan berupaya melaksanakan tindak-kerja bersifat tempur atau ketenteraan yang telah saya sebutkan,” katanya.-12/2/2025

Read more

khabar terbaru