Wednesday - 12, March 2025

ASEAN sebagai ‘kuasa pertengahan’ tangani ketegangan geopolitik global

Share

ASEAN berpotensi untuk menjadi ‘’kuasa pertengahan’ dalam memainkan peranan penting menangani ketegangan antara kuasa-kuasa besar bukan dengan tujuan berperang tetapi sebagai mediator dan pengimbang.

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata dengan peralihan daripada sistem unipolar, di mana satu kuasa besar mendominasi kepada sistem multipolar, ASEAN dilihat boleh membawa suara seruan ke arah penyelesaian diplomatik dalam menghadapi pertikaian antarabangsa.

“Kebetulan Malaysia sekarang menjadi Pengerusi ASEAN dan Malaysia boleh memainkan peranan dalam membawa hal-hal berkaitan pertikaian ini supaya dapat diselaraskan.

“Contohnya, dalam isu krisis di Myanmar, kita harapkan ia dapat diselesaikan,” katanya kepada pemberita selepas selesai menjadi moderator bagi BN Forum: Impak Pemilihan Trump dan Dasar-Dasarnya ke atas Dunia di Kuala Lumpur pada Rabu.

Zambry yang juga Menteri Pendidikan Tinggi berkata forum yang dianjurkan dalam beberapa siri itu bertujuan meningkatkan kesedaran rakyat terhadap isu-isu global dan kesannya kepada negara.

Katanya ini penting kerana dunia kini bergerak ke arah kehidupan yang lebih kompleks dan dinamik, sekali gus memerlukan masyarakat memahami isu-isu luar negara serta implikasinya terhadap negara.

Tiga ahli panel yang dijemput adalah Felo Kanan untuk Program Asia di Carnegie Endowment for International Peace Dr Elina Noor, Felo Kanan di Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara Prof Dr Azmi Hassan dan Profesor Madya UM Dr Khoo Yinh Hooi

Sementara itu, dasar luar dan domestik Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump yang agresif pada penggal kedua pentadbiran beliau memperlihatkan tindak balasnya terhadap kepercayaan bahawa hegemoni AS semakin merosot – pandangan yang semakin mendapat perhatian di negara itu dan di peringkat global.

Bernama melaporkan Profesor Adjung Institut Asia-Eropah Universiti Malaya (UM) Dr Johan Saravanamuttu berkata idea ini, yang menjadi teras kepada kempen “Make America Great Again” Trump, menunjukkan bahawa Amerika telah kehilangan penguasaan globalnya dan perlu merebut kembali kedudukan itu.

“Persaingan daripada China adalah faktor utama yang mempengaruhi pendekatan Trump. Pentadbiran penggal pertama beliau terarah kepada usaha untuk mengehadkan kebangkitan China, terutamanya dalam perdagangan dan teknologi.

“Penggal kedua beliau nampaknya meneruskan trajektori ini, dengan polisi yang bertujuan untuk menentang pengaruh ekonomi dan geopolitik China yang semakin berkembang,” kata Johan.

Menurutnya walaupun kekuatan tentera AS masih tiada tandingan, kemampuannya untuk membentuk agenda global, terutamanya di rantau Indo-Pasifik telah berkurang.

Kebangkitan watak serantau termasuk ASEAN, telah merumitkan perkiraan strategik AS, seperti yang ditegaskan Malaysia dan negara-negara lain di rantau ini, menjadikan ia lebih sukar bagi AS untuk menggunakan pengaruh seperti yang pernah dilakukan sebelum ini.

Sementara itu, Khoo membandingkan gaya kepimpinan Trump dengan liputan ‘Wi-Fi yang lemah’ menekankan ketidakstabilan, ketidakpastan dan kecenderungan menimbulkan gangguan dalam hal ehwal global.

Menurut beliau strategi Trump berasaskan pemikiran berorientasikan perniagaan, walaupun berkesan dalam dunia korporat, telah mengganggu politik antarabangsa.

“Seperti sambungan Internet yang tidak stabil, polisi beliau (Trump) tidak konsisten, kadangkala memberi manfaat kepada satu negara dan pada masa sama menyebabkan ketegangan dengan negara lain. Selain itu, campur tangan beliau dalam urusan global, seperti isyarat Wi-Fi yang lemah mengganggu aktiviti harian, telah menimbulkan kebimbangan ekonomi dan keselamatan di seluruh dunia,” katanya.

Pentadbiran Trump baru-baru ini menyebabkan ketegangan di peringkat global berikutan beberapa pengumuman polisi yang agresif, termasuk rancangan untuk memindahkan kira-kira dua juta rakyat Palestin dari Gaza ke negara jiran seperti Mesir dan Jordan awal bulan ini.

Malaysia, penyokong kuat Palestin sejak sekian lama, telah menentang keras pemindahan paksa ini dengan mendakwa ia adalah pembersihan etnik dan pelanggaran undang-undang antarabangsa serta pelbagai resolusi PBB.-13/2/2025

Read more

khabar terbaru