Gaji lumayan di Singapura menyebabkan lebih 900 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Johor tidak menduduki peperiksaan penting itu dan memilih untuk bekerja di negara jiran.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Aznan Tamin, berkata langkah Singapura tidak mensyaratkan pengambilan pekerja tempatan perlu mempunyai kelayakan SPM antara faktor penyumbang ada pelajar Johor enggan menduduki peperiksaan tersebut.
Menurutnya, calon SPM terbabit gagal menduduki peperiksaan utama berkenaan kerana beranggapan masih boleh mendapat pekerjaan di Singapura dengan gaji lumayan, walaupun tanpa kelayakan SPM.
“Tawaran gaji besar di Singapura susulan kadar mata wang tinggi menarik perhatian mereka, justeru menimbulkan kebimbangan kerajaan negeri Johor bahawa masalah keciciran pelajaran akan berterusan.
“Dianggarkan 900 pelajar yang tidak menduduki peperiksaan SPM pada 2024/2025 ini. Walaupun jumlah itu menurun berbanding tahun sebelumnya, ia masih membimbangkan.
“Cuma cabaran kita ini, Singapura tidak memerlukan kelayakan SPM untuk ambil pelajar kita bekerja,” katanya, lapor portal FMT.
Sebelum ini Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata sekitar 10,000 pelajar tidak hadir menduduki SPM.
Dalam pada itu, Aznan berkata penubuhan Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) dilihat mampu menjadi penyelamat untuk memastikan pelajar keciciran ini menyambung pelajaran dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“Sebab itu JTDC ialah platform untuk membantu anak-anak ini. Walaupun tidak habis belajar, kita boleh hantar untuk menceburi bidang TVET dan kita ambil mereka bekerja di Johor.
“Oleh itu, tidak menduduki SPM bukan berakhirnya masa depan mereka, kita akan bantu masukkan mereka ke program TVET supaya mereka ada peluang dan ruang untuk terus ke hadapan,” katanya.
Di Malaysia, pemilikan SPM adalah antara ciri asas utama memohon pekerjaan di pejabat dan layak mendapat gaji minimum.
Pada 2023, dilaporkan jumlah pengambilan pekerja di Singapura meningkat sebanyak 88,400.
Kementerian Pendidikan Malaysia melaporkan keseluruhan seramai 402,956 calon SPM mengambil peperiksaan itu pada 2024/2025 di 3,337 pusat peperiksaan seluruh negara itu.-13/2/2025