Tahukah anda bahawa lebih 10,000 peminjam yang tegar tidak membayar hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), itu belum masuk pinjaman Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan lain-lain.
Sikap tidak mahu bayar hutang ini boleh menjejaskan bantuan kewangan untuk peminjam baharu yang memerlukan.
Berikutan itu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil telah meminta dua entiti media rasmi kerajaan Bernama dan RTM untuk melaksanakan kempen kesedaran dalam kalangan rakyat mengenai tanggungjawab membayar pinjaman.
Jelas Fahmi membayar semula pinjaman ialah tanggungjawab semua peminjam bagi memastikan pihak pemberi pinjaman mempunyai dana berterusan untuk disalurkan kepada generasi seterusnya.
“Kita perlu tingkatkan usaha untuk menanam dalam sanubari rakyat Malaysia terutama bagi mereka yang sebenarnya dalam keadaan mampu untuk membuat bayaran. Maka, wajar mereka laksanakan tanggungjawab membayar semula hutang.
“Harapan saya sebelum masuk Ramadan, RTM dan Bernama meneliti dan melihat beberapa aspek tentang isu hutang piutang yang mungkin kita perlu fikirkan kaedah terbaik dalam memberi peringatan kepada semua rakyat Malaysia,” katanya pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi pada Rabu.
Fahmi berkata beliau dimaklumkan oleh pihak PTPTN terdapat lebih kurang 10,000 peminjam yang tegar tidak membayar hutang.
“Jumlah untuk setiap individu itu mungkin tidak besar, tetapi kalau dikumpulkan ia jumlah yang agak signifikan dan diperlukan untuk meneruskan program PTPTN,” katanya.-13/2/2025