Kerajaan telah bersetuju untuk menyelaraskan harga lantai belian padi daripada RM1,300 kepada RM1,500 per metrik tan berkuatkuasa 16 Februari 2025.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Haji Mohamad Sabu beritahu demikian dalam Sesi Penerangan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Katanya penyelarasan ini dapat membantu para pesawah menyerap kenaikan kos pengeluaran padi dan seterusnya menambah pendapatan mereka.
Hari ini, bukan sahaja pesawah mendapat berita gembira tetapi pengguna juga turut lega apabila harga jualan maksima Beras Putih Tempatan (BPT) kekal RM2.60 sekilogram.
Menurut Mohamad Sabu bagi mengekalkan harga jualan BPT, kerajaan akan memperuntukkan sekitar RM150 juta kepada pengilang padi untuk tempoh 6 bulan pertama tahun ini.
Melalui inisiatif ini, 24 juta kampit BPT berat 10 kilogram (RM26.00) akan mula berada di pasaran secara berperingkat dalam tempoh 6 bulan pertama tahun ini.
Walaupun industri padi dan beras negara sentiasa berdepan dengan pelbagai cabaran seperti ancaman perubahan iklim dan ketidaktentuan geopolitik dunia, namun kerajaan sentiasa komited menjaga kebajikan pesawah dan kesejahteraan rakyat, dengan mengimbangi kepentingan semua pihak dalam industri padi dan beras negara.
Menteri itu harap pengumuman ini dapat memberikan solusi ’menang-menang’ kepada pesawah, pengilang dan pengguna.
Dalam Belanjawan 2025, kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak RM2.6 bilion untuk membantu pesawah, termasuk subsidi input pertanian dan insentif output pertanian, bertujuan meringankan beban pesawah serta memperkasakan pengeluaran padi.
Mohamad Sabu seru semua pihak mengenepikan sebarang perbezaan dan perbalahan.
“Sebaiknya semua pihak perlu sama-sama menyokong segala usaha bagi memastikan agenda keterjaminan makanan rakyat kekal menjadi keutamaan pada setiap masa dan Ketika,”katanya.- 13/2/2025