Liga Arab menolak sebarang percubaan untuk menyingkirkan rakyat Palestin dari tanah mereka, sambil menekankan bahawa “Gaza bukan untuk dijual.”
Setiausaha Agung Liga Arab Ahmed Aboul-Gheit berkata Liga Arab sebagai institusi yang menghimpunkan semua negara Arab, menolak tegas sebarang usaha untuk menyingkirkan rakyat Palestin dari tanah mereka dengan apa jua alasan,” katanya di Kaherah, Mesir, lapor Xinhua.
Beliau menekankan bahawa Gaza adalah sebahagian daripada negara Palestin masa depan yang akan ditubuhkan berdasarkan sempadan 1967 dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negaranya, selaras dengan penyelesaian dua negara.
Aboul-Gheit turut menegaskan bahawa isu Palestin merupakan “perjuangan utama bagi dunia Arab, baik rakyat mahupun kerajaan.”
Ketua liga itu berkata sebarang percubaan untuk menyingkirkan rakyat Palestin adalah satu ketidakadilan nyata terhadap hak mereka.
Beliau turut mengecam peningkatan serangan tentera Israel di Tebing Barat.
Kenyataan itu dibuat di tengah-tengah kebimbangan yang semakin meningkat selepas Presiden Amerika Syarikat Donald Trump baru-baru ini mencadangkan pembangunan semula Gaza dan pemindahan populasinya ke negara jiran termasuk Jordan dan Mesir.
Cadangan kontroversi itu telah ditolak di peringkat serantau dan antarabangsa.
Kaherah dijadual menjadi tuan rumah sidang kemuncak tergempar Arab pada 27 Feb bagi membincangkan perkembangan terkini isu Palestin.
Sementara itu, Institusi Agama Mesir Al-Azhar Al-Sharif menegaskan rakyat Palestin berhak menentukan nasib mereka sendiri dan tiada siapa boleh memaksa mereka untuk menerima cadangan pemindahan secara paksa.
Al-Azhar dalam kenyataan yang disiarkan menerusi Facebook berkata semua negara perlu memberi sokongan penuh terhadap pendirian Mesir dan negara-negara Arab lain dalam usaha membina semula Gaza dengan syarat rakyat Palestin kekal di tanah air mereka.
“Dunia perlu menghormati hak rakyat Palestin untuk hidup di tanah air sendiri dan membentuk sebuah negara bernama Palestin yang merdeka”, menurut kenyataan itu.
“Pada masa sama, masyarakat dunia juga perlu memberi tekanan maksimum demi perlaksanaan perjanjian menghentikan pencerobohan dan kezaliman terhadap rakyat Palestin di Gaza”, katanya.
Institusi itu turut menyeru para pemimpin negara Arab dan masyarakat dunia menentang rancangan pemindahan yang sebenarnya bertujuan melemahkan perjuangan Palestin dan memaksa rakyatnya meninggalkan tanah air.
Al-Azhar berkata pengabaian masyarakat antarabangsa terhadap kezaliman yang menimpa rakyat Palestin akan membawa kepada ketidakstabilan dunia, dan ini akan menyebabkan penindasan kuasa besar yang berterusan terhadap golongan yang lemah.
Ia turut menggesa institusi-institusi agama di seluruh dunia berganding bahu dalam mempertahankan rakyat Palestin yang ditindas terus menerus di tanah air sendiri.-14/2/2025