Wednesday - 12, March 2025

Buruh rogol adik ipar sarat hamil dipenjara tujuh tahun

Share

Lelaki durjana yang merogol adik ipar sendiri yang sarat hamil dipenjara tujuh tahun dengan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen Muar hari ini.

Hakim Sayani Mohd Nor, turut memerintahkan tertuduh yang berusia 26 tahun diletakkan di bawah pengawasan polis selama dua tahun selepas selesai hukuman itu.

Menurut fakta kes, tertuduh yang bekerja sebagai pengait kelapa sawit merogol adik iparnya di sebuah rumah di Batu Pahat minggu lepas.

Tertuduh didakwa merogol adik ipar perempuan berusia 18 tahun di rumah sewa rakannya di antara jam 5 hingga 6 pagi, 8 Februari lalu.

Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang mana dia boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh sudah mengenali dan pernah menjalinkan hubungan dengan mangsa sebelum remaja itu berkahwin dengan adik lelaki tertuduh yang kini sedang menjalani hukuman dalam penjara.

Pada hari kejadian, mangsa berada di rumah rakan sebelum tertuduh tiba-tiba muncul dan berkumpul bersama mereka di situ.

Tertuduh kemudian pulang ke rumah tetapi pada jam 5 pagi pada tarikh terbabit, lelaki itu datang semula ke rumah rakan mangsa.

Tertuduh mengajak mangsa masuk ke bilik, namun remaja itu enggan menuruti kehendaknya.

Secara tiba-tiba, tertuduh menarik tangan mangsa dari dalam bilik ke ruang tamu.

Rakannya cuba membantu tapi malangnya, mereka dipaksa masuk ke dalam bilik sebelum lelaki terbabit melakukan perbuatan terkutuk terhadap adik iparnya itu.

Tertuduh turut menutup mulut agar jeritan mangsa tidak didengari jiran.

Siasatan polis mendapati, mangsa sedang hamil 31 minggu hasil perkahwinan dengan adik tertuduh.

Bertindak atas laporan dibuat, tertuduh ditahan pada jam 11.15 malam pada hari kejadian.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Diyanah Najihah Muhamed Fauzi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.-14/2/2025

Read more

khabar terbaru