Perubahan bagi membina Malaysia sebagai sebuah negara yang berwibawa dan bersih tidak boleh dengan jaminan kata-kata sahaja.
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perubahan tersebut mesti dilaksanakan dengan amalan dan tindakan.
“Tekad Kerajaan Madani membina sebuah negara wibawa yang bersih dan ke arah memperkasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjadi badan bebas dan berintegriti.
“Mesti ditegaskan, perubahan mesti dari pimpinan atas dengan amalan, tindakan dan bukan hanya dengan jaminan kata-kata sahaja,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Jumaat.

Anwar berkata bahawa Kerajaan MADANI yang dipimpinnya tidak akan berkompromi dalam isu penyalahgunaan kuasa dan telah memberi kuasa penuh kepada SPRM untuk bertindak tanpa sebarang halangan terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam perbuatan rasuah.
“Saya telah beri mesej yang jelas bahawa tidak wajar lagi diizinkan perolehan tanpa kawalan, dan SPRM diberi kebebasan penuh untuk menggeledah, membongkar dan mengambil tindakan,” ujar beliau.
Anwar turut mengimbas pengalamannya ketika berkhidmat dalam kerajaan terdahulu, di mana beliau memberi keutamaan kepada usaha memperkasakan Badan Pencegah Rasuah (BPR), yang kini dikenali sebagai SPRM. Langkah-langkah yang diambil termasuk pindaan undang-undang, penambahan pegawai, serta penyediaan sokongan kewangan yang mencukupi.
Beliau turut berkongsi inspirasi daripada kejayaan Hong Kong dalam memerangi rasuah menerusi Suruhanjaya Bebas Pencegahan Rasuah (ICAC) yang ditubuhkan pada tahun 1970-an.

“Tahun 60-an dan 70-an, Hong Kong terkenal sebagai negara yang paling tinggi jenayah dan rasuah. Maka, ada keputusan ketika itu untuk menubuhkan Hong Kong Anti-Corruption Commission. Suruhanjaya itu diperkasakan dengan peruntukan undang-undang yang kukuh, lengkap dengan jentera serta pegawai. Dengan tiga faktor ini, kebebasan mereka dalam menangani rasuah berubah dalam masa lapan tahun, dan Hong Kong berubah wajah menjadi sebuah negara yang bersih,” katanya.
Anwar memberi jaminan bahawa selagi beliau memegang jawatan Perdana Menteri, usaha memerangi rasuah akan diteruskan dengan penuh ketegasan dan tiada kompromi. Kerajaan MADANI komited untuk membina sebuah negara berwibawa yang bebas daripada rasuah serta salah guna kuasa, dalam usaha memastikan Malaysia mencapai status negara yang bersih dan berintegriti.
Terdahulu, Perdana Menteri berkata, beliau sempat menghadiri Majlis Makan Malam Beristiadat SPRM 2025 semalam bagi meraikan seluruh keluarga SPRM.
Turut hadir dalam majlis itu ialah Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.-14/2/2025 OLEH AHMAD SAUQI ABDUL RAZAK