Friday - 18, April 2025

Penduduk Malaysia meningkat kepada 34.2 juta…

Share

Penduduk Malaysia dianggarkan berjumlah 34.2 juta orang pada suku keempat tahun lepas, meningkat 1.3 peratus berbanding 33.7 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, daripada jumlah itu 30.8 juta ialah warganegara, manakala selebihnya, 3.4 juta bukan warganegara.

“Penduduk lelaki meningkat kepada 18 juta daripada 17.7 juta pada suku tahun keempat 2023 dan penduduk wanita meningkat kepada 16.2 juta daripada 16 juta dalam tempoh yang sama.

“Nisbah jantina keseluruhan penduduk ialah 111 lelaki bagi setiap 100 perempuan, manakala nisbah jantina bagi warganegara ialah 103 lelaki bagi setiap 100 perempuan,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Uzir berkata, penduduk berumur hingga 14 tahun menurun kepada 7.5 juta daripada 7.6 juta, sementara penduduk berumur 15 hingga 64 tahun meningkat kepada 24 juta daripada 23.6 juta, manakala penduduk berumur 65 tahun dan lebih meningkat kepada 2.6 juta daripada 2.5 juta.

Selain itu, beliau berkata, jumlah kelahiran hidup merekodkan penurunan sebanyak 5.6 peratus iaitu 105,044 kelahiran berbanding 111,265 kelahiran pada suku tahun keempat 2023.

“Bayi lelaki melebihi bayi perempuan dengan 54,126 kelahiran berbanding 50,918 kelahiran.

“Selangor merekodkan bilangan kelahiran hidup tertinggi dengan 20,006 kelahiran, manakala kelahiran hidup terendah direkodkan di Wilayah Persekutuan Labuan dengan 321 kelahiran.

Menurutnya lagi, sebanyak 49,586 kematian direkodkan pada suku tahun keempat 2024, meningkat 0.5 peratus berbanding suku tahun keempat 2023, iaitu bilangan kematian bagi lelaki adalah 28,596 manakala 20,990 kematian bagi perempuan.-17/2/2025

Read more

khabar terbaru