Monday - 21, April 2025

Politik Indonesia… Prabowo hadiah ‘keris Jawa’ kepada Jokowi

Share

Seni halus dalam politik Indonesia ditunjukkan oleh Presiden Indonesia Prabowo Subianto dengan menghadiahkan ‘keris Jawa bersalut emas’ kepada pendahulunya Joko Widodo AKA Jokowi.

Prabowo dua kali dikalahkan Jokowi sebagai calon Presiden Indonesia sebelum beliau disokong Jokowi untuk mengalahkan PDI-P dalam pilihanraya umum negara itu tahun lalu.

Bukan sahaja diberikan hadiah tersebut, Jokowi diberi kesempatan untuk memberikan ucaptama sempena Ulang tahun ke-17 Parti Gerakan Indonesia Raya (Gerindra) pada Sabtu.

Acara yang berlangsung di Bogor, Jawa Barat, pada 15 Februari itu dihadiri pemimpin parti-parti sekutu, menteri kabinet, bekas presiden serta ribuan ahli Gerindra yang mengenakan baju putih.

Turut hadir ialah dua wakil Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P), parti Jokowi yang kini menjadi pembangkang utama.

Dalam majlis itu, Prabowo duduk di barisan hadapan dengan Jokowi di sebelah kanan dan Naib Presiden Gibran Rakabuming Raka, anak sulung Jokowi, di sebelah kiri.

Suasana semakin gamat apabila Prabowo dalam ucapannya menzahirkan penghargaan kepada Jokowi atas kejayaan pemerintahannya setakat ini. “Kita berjaya kerana kita mendapat sokongan daripada Presiden Ketujuh. Hidup Jokowi!” katanya disambut sorakan meriah hadirin.

Prabowo menegaskan bahawa peralihan kuasa dari pentadbiran Jokowi ke pentadbirannya adalah yang “paling lancar dalam sejarah dunia” kerana asas yang telah dibina oleh Jokowi.

Sebagai contoh, Prabowo menyebut bahawa program makanan percuma dapat dilaksanakan dalam tempoh kurang daripada tiga bulan kerana Jokowi terlebih dahulu menubuhkan Badan Gizi Nasional (BGN) sebelum meninggalkan jawatan presiden.

“Beliau telah mewujudkan BGN supaya kita boleh mula bekerja sebelum (pentadbiran baru) dilantik pada Oktober dan melancarkan program ini pada Januari,” jelas Prabowo.

Beliau turut menepis spekulasi bahawa Jokowi cuba campur tangan dalam pemerintahannya dan menegaskan bahawa sepanjang lima tahun menjadi Menteri Pertahanan, beliau menyaksikan sendiri bagaimana Jokowi hanya mengutamakan kesejahteraan rakyat Indonesia.

Sebagai balasan, Jokowi pula memuji pencapaian Prabowo, khususnya tahap popularitinya yang tinggi dalam tempoh 100 hari pertama pemerintahannya.

“Saya boleh katakan bahawa Prabowo adalah presiden dengan sokongan paling kuat, baik dari rakyat mahupun Dewan Perwakilan Rakyat. Bandingkan dengan mana-mana pemimpin dunia lain, tiada siapa yang memiliki (sokongan) seteguh Prabowo,” kata Jokowi.

Jokowi turut menyentuh kritikan terhadap dirinya yang menurutnya lebih banyak ditujukan kepadanya berbanding kepada Prabowo. “Bahkan untuk hal kecil sekalipun, orang menyalahkan saya. Cubalah sesekali menyalahkan Prabowo, tapi saya yakin tak ada yang berani kerana kepimpinan dan ketegasannya sudah terbukti,” kata Jokowi berseloroh.-17/2/2025

Read more

khabar terbaru