Agensi berita diminta untuk memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) bagi menangani maklumat palsu, yang semakin teruk akibat AI dalam era media digital.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata wujud keperluan untuk ‘melawan api dengan api’, beliau menekankan bagaimana AI digunakan untuk menentang ancaman yang didorong oleh AI dalam keselamatan siber, dengan merujuk kepada organisasi seperti BlackBerry yang menggunakan AI untuk meningkatkan keselamatan digital.
“Terdapatnya peluang untuk melihat apa yang AI boleh lakukan untuk organisasi berita anda dan landskap negara anda dalam memerangi keburukan maklumat palsu,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Mesyuarat Lembaga Eksekutif Pertubuhan Agensi-Agensi Berita Asia-Pasifik (OANA) ke-54, di Kuala Lumpur pada Isnin.
Berkongsikan inisiatif terbaru Malaysia dalam memerangi maklumat palsu, Fahmi berkata kerajaan telah memperkenalkan chatbot AI pemeriksaan fakta ‘AIFA’ untuk memerangi berita palsu di WhatsApp.
Beliau berkata chatbot itu dibangunkan selepas satu tinjauan yang menunjukkan ramai rakyat Malaysia bergantung pada WhatsApp untuk berita terkini.
“Jadi kami memutuskan untuk memerangi maklumat palsu di WhatsApp, secara langsung di WhatsApp. Kami mencipta chatbot ini dan orang ramai boleh berinteraksi dengannya, orang ramai boleh bertanya soalan padanya,” katanya.
Fahmi juga menyentuh cabaran yang dihadapi organisasi media pada era ini, termasuk peralihan kepada media sosial sebagai sumber berita, yang telah memberi kesan besar kepada iklan media tradisional.-18/2/2025