Kebimbangan orangramai tentang adanya lelaki bersenjata ‘on the loose’ sejak kejadian tembakan di sebuah pusat beli belah di Setia Alam pada 8 Februari berakhir.
Lelaki warganegara berkenaan dalam lingkungan usia 30han ditembak mati polis semasa serbuan di sebuah hotel di Pulau Ketam, berhampiran Pelabuhan Klang.
Ketua polis Selangor Hussein Omar Khan dalam satu kenyataan beritahu serbuan jam 3 pagi yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Selangor dan Bukit Aman.
Kejadian berbalas tembakan berlaku antara anggota polis dan suspek.
“Pasukan polis berjaya menembak seorang warga negara, dalam lingkungan umur pertengahan 30-an,” katanya.
Polis turut menemui dua senjata api yang dimuatkan di dalam bilik hotel itu.
Hussein menambah bahawa lelaki itu mempunyai sembilan rekod jenayah, termasuk tujuh kes samun dan satu kesalahan berkaitan dadah.
Menurut beliau lelaki itu sempat melakukan lima jenayah lain selepas terbabit kejadian tembakan di sebuah pusat beli-belah di Setia Alam, minggu lalu.
Dia melakukan jenayah samun, pecah rumah, peras ugut serta curi kenderaan sepanjang tempoh melarikan diri dari polis.
Dalam tempoh sama juga, katanya penjenayah dikenali ‘Ah Boy’ itu sempat melarikan diri ke selatan tanah air selama lima hari, sebelum berpatah balik ke Banting, kemudian ke Sabak Bernam dan seterusnya ke Pulau Ketam, dua hari lalu.
“Cara suspek bergerak dari Klang dia mengugut pemandu Grab untuk hantar dia sampai ke Melaka… di Melaka juga dia menggunakan kaedah sama ugut orang awam iaitu pemandu lori untuk ke Banting.
“Suspek juga mencuri motosikal sampai ke Sabak Bernam dan di situ dia ugut pula pemandu lori untuk lari ke Klang (Pulau Ketam),” katanya
Hussein berkata ketika di Sabak Bernam, suspek melakukan jenayah pecah rumah dengan menunjukkan senjata api dimiliki, selain samun sebelum melarikan diri ke Pulau Ketam.
“Ini menjadikan jumlah keseluruhan 15 kes jenayah dilakukan suspek termasuk rekod jenayah lampau.
“Penjenayah ini tiada kenderaan sendiri dan dia bergerak menggunakan pengangkutan orang ramai dengan mengugut menggunakan senjata,” katanya.
Pada 8 Feb kira-kira jam 10 malam, seorang lelaki melepaskan empat das tembakan di sebuah pusat beli-belah di Setia Alam, mencederakan seorang tukang cuci, selepas diarah memindahkan barang-barangnya. Dia dipercayai berada di bawah pengaruh dadah.
Dia melarikan diri dari pusat beli belah itu sambil melepaskan beberapa lagi das tembakan dan memaksa seorang pemandu membawanya keluar dari kawasan itu, sebelum diturunkan berhampiran lebuh raya Kesas di Shah Alam.- 18/2/2025