Dewan Rakyat pada Selasa diberitahu bahawa kerajaan sedang memuktamadkan parameter utama bagi cadangan pelaksanaan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR KL-SG), dengan diterajui sektor swasta.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata MyHSR Corporation Sdn Bhd (MyHSR Corp) telah menilai tujuh cadangan konsep yang diterima daripada firma dan konsortium tempatan serta antarabangsa menerusi proses Permintaan Maklumat (RFI).
“Pada masa ini, Kementerian Pengangkutan (MOT) bersama beberapa kementerian dan agensi berkaitan sedang memuktamadkan parameter utama bagi cadangan pelaksanaan projek HSR secara berasaskan swasta.
“Perincian lanjut mengenai konsortium yang disenarai pendek, kaedah pembiayaan dan kajian model projek akan diteliti dalam fasa seterusnya yang akan melibatkan proses Permintaan Cadangan (RFP),” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen pada Selasa.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Muhammad Islahuddin Abas (PN-Mersing), yang meminta perkembangan terkini mengenai projek itu susulan keputusan Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) untuk menarik diri daripada konsortium yang diketuai Berjaya Rail Sdn Bhd (Berjaya).
Pada 19 Disember 2024 lalu, MRCB mengumumkan bahawa syarikat itu telah mengeluarkan notis penamatan kepada Berjaya, sekali gus menamatkan perjanjian kerjasama mereka.
Dalam pemfailan kepada Bursa Malaysia, MRCB menyatakan perjanjian yang ditandatangani pada 15 Disember 2023 itu adalah untuk penyerahan cadangan konsep tidak mengikat kepada MyHSR untuk projek HSR KL-SG.
Sementara itu, Berjaya memaklumkan bahawa konsortium yang diketuainya akan merangkumi Keretapi Tanah Melayu Bhd, IJM Corporation Bhd serta rakan teknikal seperti Deutsche Bahn, Hitachi Rail dan Hyundai Rotem.
Katanya, gandingan itu akan diperkukuh bagi memastikan keselarasan dengan keperluan projek yang semakin berkembang serta memenuhi jangkaan kerajaan.
Pengasas dan penasihat Berjaya, Tan Sri Vincent Tan, turut menggesa syarikat tempatan untuk menyertai konsortium bagi projek berkenaan.
Pada 18 Disember lalu, Anthony berkata Malaysia akan membuat keputusan sama ada menghidupkan semula atau tidak projek HSR KL-SG pada awal 2025.
Beliau bagaimanapun berkata kertas dasar mengenai projek itu, yang bertujuan mengurangkan masa perjalanan antara kededua bandar KL-SG kepada 90 minit, tidak akan menentukan sama ada projek tersebut benar-benar akan dihidupkan semula.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pula dilaporkan berkata komitmen kerajaan Malaysia membabitkan projek mega termasuk HSR KL-SG terpaksa ditangguhkan pada masa ini kerana perlu menyelesaikan beberapa isu tertunggak.
Sehubungan itu beliau berkata keputusan untuk menghidupkan semula projek HSR KL-SG bergantung kepada pembabitan sepenuhnya sektor swasta tanpa membebankan kerajaan.-18/2/2025