Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kini sedang berada di Bahrain untuk lawatan rasmi sementara di Dewan Rakyat pembangkang terus mempersoalkan mengenai perbelanjaan dan kekerapan sekalipun sudah dijelaskan mengenai keperluan siri lawatan berkenaan.
Lawatan rasmi ke Bahrain ini adalah atas jemputan Putera Mahkota dan Perdana Menteri Bahrain Salman Hamad Al Khalifa.
Ia dikatakan bakal membuka lembaran baharu hubungan diplomatik Malaysia dan negara Asia Barat itu, yang telah mencapai usia 50 tahun pada tahun lepas.
Sebelum itu semalam beliau terbang ke Brunei untuk bertemu Sultan Brunei dengan disertai oleh Ketua Kumpulan Penasihat Tidak Rasmi Kepada Pengerusi ASEAN 2025 yang juga bekas Perdana Menteri Thailand,Thaksin Shinawatra.
Antara perkara yang menjadi agenda penting pertemuan tersebut adalah krisis Myanmar, pertikaian Laut China Selatan dan perdagangan intra-ASEAN.
Di Dewan Rakyat menerusi jawapan bertulis kepada soalan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang)…Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Zaliha Mustafa memberitahu lawatan kerja Perdana Menteri ke 31 negara antara November lalu sehingga Februari ini membabitkan kos sebanyak RM16 juta.
Ahli Parlimen pembangkang itu bertanya mengenai butiran lawatan ke negara asing dan kos perbelanjaan.

Dr Zaliha menjelaskan perbelanjaan lawatan ke luar negara Perdana Menteri sentiasa mematuhi tatacara kewangan yang berkuat kuasa, di samping mengambil pendekatan perbelanjaan berhemah.
Menurut beliau setiap lawatan Anwar itu dirancang dengan teliti supaya ia mencapai nilai tambah yang maksimum dengan mengguna pakai kadar perbelanjaan yang optimum selaras dengan prinsip langkah penjimatan kerajaan.
Katanya lawatan rasmi Anwar itu bagi menghadiri mesyuarat berkala dan berjadual susulan keanggotaan Malaysia dalam pelbagai pertubuhan antarabangsa.
Antaranya anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC), Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Forum Ekonomi Dunia (WEF) dan Kumpulan Lapan Negara Membangun (D-8).
“Kehadiran Perdana Menteri memainkan peranan penting dalam menunjukkan komitmen Malaysia untuk memperkukuh hubungan diplomatik dan kedudukan negara di peringkat global.
“Selain itu, lawatan ke luar negara juga adalah sebahagian misi galakan perdagangan dan pelaburan untuk menarik pelaburan langsung asing (FDI) untuk meningkatkan ekonomi negara,” katanya.
Dalam pada itu, Dr Zaliha memaklumkan pegawai kerajaan yang menyertai lawatan perdana menteri ditanggung secara berasingan oleh kementerian masing-masing.
“Sementara perbelanjaan bagi pegawai keselamatan pula adalah di bawah tanggungjawab Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia.
“Kesemua perbelanjaan untuk lawatan rasmi atau kerja Perdana Menteri adalah ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan, tanpa sebarang pembiayaan dari dana syarikat swasta.
“Bagi lawatan yang membabitkan penyewaan penerbangan komersial, ini adalah langkah penjimatan oleh kerajaan dengan mengambil kira jumlah delegasi yang besar sepanjang siri lawatan yang melibatkan beberapa buah negara secara menerus.
Terdahulu dalam jawapan bertulisnya Dr Zaliha juga memberitahu pada tahun 2024 kerajaan telah membelanjakan RM44 juta bagi kos 236 lawatan rasmi ke luar negara termasuk oleh Perdana Menteri.