Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menerima mengadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Bahrain.
Pada pertemuan itu, Perdana Menteri mempersembahkan perkara-perkara berkaitan perkembangan semasa negara, selain bertanyakan khabar kesihatan Baginda.
Anwar tiba di Bahrain bagi lawatan rasmi di atas jemputan Putera Mahkota dan Perdana Menteri Bahrain, Salman Hamad Al Khalifa.
Agong sebelum ini dilaporkan selamat menjalani rawatan konservatif bagi kesakitan musculoskeletal (otot dan tulang).

Menerusi hantaran yang dimuat naik di Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Agong dijangka berangkat pulang ke Malaysia pada 21 Februari ini.
“Kesakitan itu berlaku akibat latihan ketenteraan intensif serta gaya hidup aktif Sultan Ibrahim yang gemar bersukan sewaktu muda terutama bermain polo.
“Sultan Ibrahim bersama Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah, menzahirkan penghargaan tulus ikhlas kepada seluruh rakyat Malaysia yang mengadakan solat hajat dan tidak putus-putus menitipkan doa untuk kesihatannya,” kata kenyataan itu.

Media sebelum ini melaporkan Agong berangkat ke luar negara untuk menjalani rawatan. Perkara itu telah disembah maklum kepada Majlis Raja-Raja dan Kerajaan Persekutuan.
Turut mengiringi Agong ke luar negara ialah Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Al-Haj, dan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Al-Haj.-19/2/2025 OLEH AHMAD SAUQI ABDUL RAZAK