Saturday - 12, July 2025

Tiada lagi larangan terhadap Zakir Naik – Saifuddin

Share

Larangan polis terhadap pendakwah bebas, Dr Zakir Naik pada 2019 sudah ditarik balik.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, larangan pada 2019 itu adalah susulan kepada siasatan polis yang sedang berjalan terhadapnya membabitkan dua perkara menyentuh sensitiviti kaum.

“Saya difahamkan larangan ketika itu dibuat susulan siasatan yang sedang dilakukan sebab beliau mengeluarkan ucapan yang menyentuh sensitiviti kaum dan agama.

“Mengikut rekod yang ada, dua perkara disebut beliau di Kota Bharu dan Perlis menyentuh sensitiviti kaum. Namun kini larangan itu tiada lagi,” katanya ketika sesi penggulungan Usul Menjunjung Kasih Atas Titah Diraja bagi Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan RSN Rayer (PH-Jelutong) berhubung status larangan ceramah ke atas Zakir.

Persoalan sama turut dibangkitkan V Ganabatirau (PH-Klang) yang meminta KDN memberi penjelasan mengenai status larangan itu susulan laporan mendakwa Zakir berceramah dalam sebuah program di Perlis bulan lalu.

Pada Ogos 2019, polis dilaporkan melarang Zakir menyampaikan ceramah awam di seluruh negara demi keselamatan negara dan keharmonian kaum.

Beliau disoal siasat bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana sengaja menghina dan menggugat ketenteraman awam susulan ceramahnya di Kota Bharu, Kelantan.

Beliau dilaporkan mendakwa masyarakat India Malaysia lebih setia kepada Perdana Menteri India, Narendra Modi dan menggambarkan orang Cina di negara ini boleh dianggap “tetamu lama” berbanding dirinya “tetamu baharu”.

Zakir kemudiannya memohon maaf terhadap salah faham yang timbul daripada kenyataannya, tetapi mempertahankan ucapannya dipetik di luar konteks.-20/2/2025

Read more

khabar terbaru