Pemimpin negara-negara Arab akan berkumpul di Arab Saudi pada esok dalam sidang kemuncak bagi menentang rancangan Presiden Donald Trump untuk mengawal Gaza serta mengusir penduduknya, menurut sumber diplomatik dan kerajaan.
Rancangan itu mencetuskan perpaduan luar biasa dalam kalangan negara-negara Arab yang sebulat suara menolak idea berkenaan.
Namun, mereka masih boleh berbeza pendapat mengenai pihak yang akan mentadbir wilayah Palestin itu dan siapa yang akan membiayai pembinaannya semula.
Pakar dasar luar Saudi, Umer Karim, berkata kepada AFP bahawa sidang kemuncak itu akan menjadi yang “paling berpengaruh” dalam beberapa dekad berkaitan dunia Arab dan isu Palestin.
Trump mencetuskan kemarahan antarabangsa apabila mengumumkan bahawa Amerika Syarikat (AS) akan “mengambil alih Gaza”, dengan memindahkan 2.4 juta penduduknya ke Mesir dan Jordan.
Menurut sumber yang rapat dengan kerajaan Saudi, pemimpin-pemimpin Arab akan membincangkan “rancangan pembinaan semula yang bertentangan dengan rancangan Trump untuk Gaza”.
Ketika bertemu Trump di Washington pada 11 Februari, Raja Jordan Raja Abdullah II menyatakan bahawa Mesir akan mengemukakan pelan penyelesaian.
Sumber Saudi berkata, perbincangan akan menyentuh “versi pelan Mesir” yang disebut oleh Raja Abdullah.
Sidang kemuncak Jumaat ini pada asalnya dirancang untuk membabitkan Arab Saudi, Mesir, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Qatar dan Jordan.
Bagaimanapun, ia diperluaskan untuk merangkumi enam negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan Pihak Berkuasa Palestin.
Bagi rakyat Palestin, sebarang percubaan untuk mengusir mereka dari Gaza mengingatkan kepada peristiwa “Nakba” atau bencana yang menyebabkan ratusan ribu rakyat Palestin melarikan diri semasa penubuhan Israel pada 1948.
Pembinaan semula Gaza akan menjadi isu utama dalam sidang kemuncak selepas Trump menekankan bahawa faktor utama pemindahan penduduk adalah bagi memberi laluan kepada usaha pemulihan infrastruktur Gaza.
Mesir masih belum mengumumkan inisiatif balasnya, namun bekas diplomat Mesir, Mohamed Hegazy, menggambarkan pelan “dalam tiga fasa teknikal selama tiga hingga lima tahun”.
Fasa pertama akan membabitkan pemulihan awal selama enam bulan, termasuk membawa masuk jentera berat untuk membersihkan runtuhan serta mengenal pasti kawasan selamat sementara untuk menempatkan penduduk Gaza.
Fasa kedua memerlukan persidangan antarabangsa bagi perincian usaha pembinaan semula, dengan fokus kepada pemulihan infrastruktur asas.
Fasa terakhir akan menumpukan kepada perancangan bandar, pembinaan perumahan serta penyediaan perkhidmatan pendidikan dan kesihatan.
Mohamed berkata, Hamas “akan mengundurkan diri daripada arena politik dalam tempoh akan datang”, manakala sumber Arab Saudi menyatakan bahawa Riyadh mahu Gaza dikawal oleh Pihak Berkuasa Palestin.
Menurut anggaran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Selasa lalu, kos pembinaan semula dijangka melebihi AS$53 bilion (kira-kira RM235.1 bilion) dengan lebih AS$20 bilion (kira-kira RM88.6 bilion) diperlukan dalam tempoh tiga tahun pertama.-20/2/2025