Remaja lelaki berusia 19 tahun yang dipercayai mencabul kanak-kanak perempuan dalam sebuah masjid dekat Batang Kali, Hulu Selangor pagi Jumaat direman selama tujuh hari untuk siasatan.
Perkembangan ini dimaklum oleh Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan.
Menurutnya perintah reman itu telah dikeluarkan Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu.
Beliau memberitahu pihak polis juga sedang menunggu laporan rasmi daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk pengesahan berhubung status orang kurang upaya (OKU) suspek.
Siasatan keatas suspek adalah mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Polis Daerah Hulu Selangor memberitahu telah menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 8.19 pagi Jumaat.
Kejadian berlaku ketika mangsa sedang menunaikan solat sendirian di saf belakang ruang solat wanita di masjid berkenaan.
Ibu mangsa yang juga pengadu dalam kes itu memaklumkan telah membawa dua anaknya ke masjid untuk menunaikan solat subuh, namun hanya mangsa bersembahyang di bahagian belakang.
Susulan laporan yang dibuat wanita itu, polis menahan suspek pada tengah hari tadi di Batang Kali dengan bantuan orang ramai.-22/2/2025