Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kini dalam keadaan stabil menerima rawatan di hospital selepas rebah dan pengsan di rumahnya sekitar 2.30 pagi Sabtu.
Beliau yang berusia 65 tahun rebah dan pengsan ketika sedang berjalan ke dapur.
Kejadian itu disedari oleh anaknya Nashriq.
Nashriq, yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Bera, berkata bapanya sedarkan diri tidak lama kemudian tetapi sangat lemah.
Kejadian itu disyaki berpunca daripada tekanan darah tinggi.
Ismail kini sedang dirawat di Sunway Medical Centre, Kota Damansara dan dilaporkan dalam keadaan stabil.
Setiausaha akhbarnya, Azran Fitri Rahim beritahu menerusi facebook “Alhamdulillah keadaan beliau pada petang ini telah stabil dan sedar sepenuhnya. Bagaimanapun beliau masih memerlukan pemerhatian rapi daripada Doktor di sebuah hospital di Damansara.’’
Azran juga memberitahu, Ahli Parlimen Bera itu tidak dibenarkan menerima pelawat buat sementara waktu sehingga kesihatannya kembali pulih.
Hanya keluarga terdekat sahaja dibenarkan menziarahi Ismail. – 22/2/2025