Ketika bekas Perdana Menteri Kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob masih jalani rawatan setelah rebah dan pengsan di rumah…suasana politik agak panas pada Ahad dengan kisah empat bekas pegawai beliau ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Mereka ditahan bagi membantu siasatan berkaitan dakwaan rasuah dan penggubahan wang haram melibatkan promosi konsep “Keluarga Malaysia” yang diperkenalkan bekas perdana menteri itu.
Siasatan intensif telah dijalankan oleh SPRM keatas hal berkenaan pada tahun lalu.
Ia dikatakan melibatkan perbelanjaan dana kerajaan berjumlah RM700 juta bagi tujuan promosi dan publisiti.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki dilaporkan telah mengesahkan penahanan berkenaan namun tidak beri sebarang butiran lanjut.
“Kami memohon supaya pihak SPRM diberikan ruang untuk menjalankan siasatan tanpa sebarang spekulasi,” katanya dipetik sebagai berkata.
Ikut laporan media SPRM mendapat perintah reman ke atas empat pegawai berkenaan di Mahkamah Putrajaya, semalam.
Perintah reman berkenaan dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha untuk lima hari bermula Jumaat lalu untuk tiga individu, manakala seorang lagi direman tiga hari dan dibebaskan hari ini.
Setakat ini belum diketahui identiti mereka yang berkenaan.
Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada satu majlis di Putrajaya Ahad kata kerajaan tidak mencampuri urusan badan penguat kuasa dalam mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak, sebaliknya ia dilakukan bagi memastikan tatakelola yang baik di bawah pentadbirannya.
Menurutnya, tindakan itu bukan kerana dendam sebaliknya memberikan kebebasan kepada pihak terbabit dalam menjalankan tugas.
“Ada orang kata saya dendam, cari salah. Tak benar. Saya hanya beri kebebasan betul-betul. Saya beritahu Jemaah Menteri, kita tidak campur.
“Kita beri kebebasan kepada polis menjalankan kerja mereka, LHDN dengan tugasnya kutip cukai dan SPRM geledah supaya menghentikan amalan rasuah.
“Negara boleh kaya tapi kalau pimpinannya itu sibuk cari kekayaan untuk diri, bila nak jaga rakyat? Bila ada keterlanjuran, guna kuasa sampai kaya raya, ratus-ratus juta simpan,” katanya.
Dalam pada itu Ismail yang jalani rawatan di sebuah hospital swasta dilaporkan dalam keadaan stabil dan sedar sepenuhnya.
Beliau rebah dan pengsan di rumahnya jam 2.30 pagi Sabtu.- 23/2/2025