Monday - 21, April 2025

Isu nak keluar UMNO : Zahid kata ada jumpa Zafrul tetapi belum bincang

Share

Ini adalah isu yang zahirnya mungkin nampak kecil dan remeh tetapi ia mempunyai implikasi besar keatas imej dan pandangan orang terhadap UMNO.

Kini sudah lebih dua bulan berlalu sejak timbul isu Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz hendak keluar UMNO dan sertai PKR.

Kalau nak kira Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi sudah berkali kali boleh jumpa Tengku Zafrul sejak itu.

Mereka bersua pada mesyuarat Jemaah Menteri pada setiap minggu.Ini belum masuk mesyuarat mesyuarat lain di Putrajaya dan sebagainya.

Dalam pada itu ada mesyuarat bulanan Majlis Tertinggi UMNO dan mesyuarat melibatkan urusan parti yang lain.

Sekarang ini pula sedang berlangsung sidang Dewan Rakyat.Mereka juga pasti bersua di bangunan Parlimen.

Namun Zahid yang ditemui wartawan dekat Ipoh pada Selasa mengesahkan beliau ada bersua dengan Tengku Zafrul tetapi belum berbincang isu berkenaan.

“Kita ada berjumpa tetapi belum bincang lagi, mungkin beliau akan cari masa yang sesuai dan saya boleh bertemu bila-bila masa sahaja, tambah sekarang sedang ada sidang Parlimen.

“Jika saya tidak pergi ke outstation (tugasan luar) saya ada di Parlimen. Jadi, biar pejabat saya dan beliau yang akan mengaturkan tarikh sesuai,” katanya.

Baru baru ini Tengku Zafrul ada beritahu wartawan beliau akan menemui Zahid bagi berbincang sebelum mengumumkan keputusan berhubung perkara tersebut.

Pada 14 Disember lalu ketika diminta ulas desas desus Tengku Zafrul nak sertai PKR Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan wujudnya perbincangan awal berhubung hal berkenaan.

Presiden PKR itu berkata, prinsip parti adalah terbuka kepada mana-mana pemimpin yang mampu memberi sumbangan kepada parti tetapi ia perlu dilakukan dengan cara baik supaya hubungan dengan rakan parti lain termasuk UMNO tidak terjejas.

“Kita tidak menafikan dan tidak pernah mengajak orang, tetapi kita sedia bincang dan parti ini terbuka… orang yang bekas Umno pun ada dalam Keadilan.

“Sekarang ini ada perbincangan awal… perbincangan dulu… prinsipnya kita ambil sikap terbuka orang yang boleh beri sumbangan tetapi dengan cara baik supaya hubungan dengan rakan parti termasuk Umno adalah baik,” katanya kepada wartawan.

Kalangan pemerhati politik melihat dari sudut politik Tengku Zafrul kini berada dalam kedudukan yang ‘tidak selesa’ sekitar lingkungan UMNO setelah timbul isu beliau hendak keluar parti itu.

Dari satu aspek lain jika benar akhirnya Tengku Zafrul keluar UMNO ia akan memberi kesan negatif pada imej parti itu.

Ini kerana beliau bukan sahaja berkedudukan seorang menteri tetapi juga seorang anggota Majlis Tertinggi UMNO yang menang dalam pemilihan.

Soalan yang akan berlegar tentunya …” kenapa ?”. – 25/2/2025

Read more

khabar terbaru