SEORANG individu telah ditangkap selepas gagal hadir ke mahkamah bagi menghadapi pertuduhan atas kesalahan memuat naik kandungan bersifat palsu melibatkan Yang di-Pertuan Agong serta Majlis Raja-Raja Melayu.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan memaklumkan, kesalahan tersebut dibuat menerusi laman aplikasi Facebook miliknya.
Katanya, tangkapan dilakukan pada pukul 11 malam tadi dilaksanakan oleh MCMC dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Kuala Lumpur, sejurus waran tangkap dikeluarkan Hakim Mahkamah Sesyen Sepang.
“Individu berkenaan gagal hadir ke sebutan kes yang ditetapkan di mahkamah tersebut pada 24 Februari 2025.
“Suspek yang kini dalam tahanan PDRM akan dihadapkan semula ke mahkamah sama dalam masa terdekat,” katanya, hari ini.
Suspek didakwa di bawah seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara satu tahun, atau kedua-duanya sekali.- 25/2/2025