Kerajaan terus bertindak tegas terhadap kandungan internet yang bersifat jelik kerana dari tahun 2022 sehingga Januari lalu hampir 20,000 kandungan jelik sudah diturunkan.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah bertindak terhadap 18,192 kandungan jelik termasuk 40 laman sesawang juga sudah disekat hasil maklumat dan aduan yang diterima daripada orang awam.
Katanya, dalam tempoh sama, sejumlah 5,026 laman sesawang judi dalam talian disekat, manakala 216,085 kandungan bagi perjudian dalam talian di platform media sosial diturunkan dengan kerjasama penyedia perkhidmatan internet.
“Kerajaan komited melaksanakan pemantauan proaktif dan mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap kandungan dalam talian yang dikenal pasti bersifat lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik yang melanggar peruntukan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia1998 [Akta 588].
“MCMC turut memberikan kerjasama kepada agensi penguatkuasaan lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari segi penurunan kandungan media sosial, sekatan laman sesawang dan bantuan teknikal seperti pembekalan maklumat dan analisis forensik digital bagi mempercepatkan proses siasatan kesalahan perjudian dalam talian di bawah peruntukan Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 [Akta 289],” katanya.
Beliau berkata demikian dalam jawapan lisan bagi menjawab pertanyaan, Mohamad Shafizan Kepli (MP Batang Lupar).-26/2/2025