Monday - 21, April 2025

Berbagai pihak sokong penubuhan Majlis Media… suara rakyat bertambah kuat

Share

Dengan lulusnya Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Media Malaysia (MMM) 2024 oleh Dewan Rakyat pada Rabu menjadi titik perubahan yang lebih rancak dari aspek undang-undang media.

Bagi anggota pengasas Malaysiakini yang juga Pengerusi Jawatankuasa Protem Majlis Media Premesh Chandran kelulusan rang undang-undang itu merupakan pencapaian membanggakan kepada industri media.

“Kita berterima kasih kepada ahli-ahli Jawatankuasa Protem yang bekerja sangat lama, lebih kurang lima tahun tanpa gaji sehingga pembentukan akta ini. Kalau media pun kuat, kita harap suara rakyat pun akan bertambah kuat,” katanya.

Kenyataan Premesh itu disokong oleh Presiden Gabungan Kelab Media Malaysa (GKMM) Mohamad Fauzi Ishal katanya kelulusan itu menjadi hal yang dinanti oleh seluruh pengamal media dinegara dalam usaha untuk mengangkat martabat profesion kewartawanan negara.

“Ini antara lainnya, yang menyentuh soal masa depan industri media itu sendiri agar terus kekal berdaya saing dan kompetetif, seiring dengan kepesatan dunia digital hari ini.

“Pelbagai isu kebajikan yang melingkari dan membelenggu warga pengamal media sejak mutakhir ini, akan dapat diambil perhatian dan tindakan segera, sekaligus ditangani sebaiknya,” katanya.

Menurutnya, gabungan itu turut menaruh harapan agar kerajaan meletakkan keutamaan dari segi penglibatan dan penyertaan penuh daripada kalangan warga media dalam MMM terutama dalam membuat dan menentukan keputusan penting yang menyentuh hala tuju dan masa depan industri ini.

“Penghargaan khusus juga diberikan kepada Kementerian Komunikasi terutama Menteri, Fahmi Fadzil serta timbalannya, Teo Nie Chin atas komitmen dan kesungguhan mereka berdua dalam memastikan RUU ini akhirnya dibentang dan diluluskan dengan jayanya di Dewan Rakyat,” katanya.

Sementara itu, bagi Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil sendiri kelulusan RUU Majlis Media Malaysia ini adalah sebagai kemenangan besar untuk kebebasan media di Malaysia.

Beliau berkata ini adalah saat bersejarah buat industri media memandangkan cadangan rang undang-undang itu mula diutarakan pada 1973, iaitu kira-kira 52 tahun lepas.

“Setelah dikuatkuasakan nanti kita jangka lembaga pengasas akan dibentuk dan Majlis Media Malaysia kita harap tahun ini, sekiranya sempat, menjelang pertengahan tahun ini kita akan dapat wujudkan.

“Prosesnya masih jauh dan ini hanya permulaan tapi ia adalah kemenangan besar untuk kebebasan media di Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, bagi Ahli Parlimen BN Jempol, Datuk Shamsulkahar Mohd Deli Majlis Media Malaysia berperanan sebagai pelindung kepada orang awam sekiranya mereka dianiayai oleh pengamal media yang tidak bertanggungjawab dengan berita atau pelaporan yang berunsur fitnah atau tidak tepat.

“Fasal 6 (2)(d) memperuntukkan bahawa Majlis Media boleh menjalankan siasatan aduan awam terhadap pengamal media melalui mekanisme ketidakpuasan hati.

“Majlis Media mempunyai kuasa perundangan untuk memerintahkan permohonan maaf dibuat secara terbuka kepada mangsa sekiranya berita yang dilaporkan media tersebut bersifat fitnah, ataupun adakah Majlis Media mempunyai kuasa untuk mengarahkan ganti rugi dibayar kepada mangsa kewartawanan yang tidak beretika,” katanya lagi.

Manakala Ahli Parlimen PN Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berharap beberapa perkara berkaitan kebebasan media diperhalusi bagi memastikan budaya demokrasi terus subur.

“Saya dan rakan pembangkang menyokong RUU ini. Cuma kami lihat ada beberapa perkara untuk diperhalusi bagi mempertahankan kebebasan media.

“Benar seperti disebut Bangi (Syahredzan) mengenai peranan media Media yang digelar sebagai ‘Fourth Estate’ (Estet Keempat) tetapi media juga boleh digunakan sama ada oleh kerajaan atau mana-mana pihak dari luar dan dalam untuk jatuhkan sesebuah kerajaan.

“Kita juga tahu mengenai ‘media buy’. Berapa banyak media di Malaysia yang berani lapor dengan adil apa yang pembangkang katakan?

“Kalau tidak dalam Dewan ini, susah untuk suara kami diambil oleh media di luar sana sebab mereka takut menteri tarik balik bajet media,” katanya semasa perbahasan.

Wan Ahmad Fayshal turut menggesa pelaksanaan yang telus bagi RUU ini, supaya media Malaysia benar-benar bebas.

Ini termasuk memastikan unsur ‘ugutan’ terhadap media dalam mengeluarkan laporan.

Industri media Malaysia mencipta sejarah apabila Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang Majlis Media Malaysia 2024, antara lain bertujuan menjamin kebebasan media dalam memastikan masyarakat mendapat informasi sahih, berintegriti dan adil.

Penubuhan Majlis Media akan mewujudkan platform kepada pengamal media, industri dan kerajaan untuk bekerjasama, membincangkan cabaran dan membangunkan penyelesaian strategik sambil merangka kursus bagi landskap kewartawanan Malaysia.-27/2/2025 OLEH AHMAD SAUQI ABDUL RAZAK

Read more

khabar terbaru